Masalah besar bagi sesiapa yang nak ke luar negara ialah bila baru sedar pasport dah tamat tempoh. Jangan panik, situasi ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan cepat jika anda tahu langkah yang perlu dilakukan. Berikut adalah panduan jika anda berdepan masalah pasport tamat tempoh atau hilang saat-saat akhir sebelum penerbangan.
1. Pasport Tamat Tempoh Sebelum Penerbangan
Jika anda hanya perasan pasport anda ‘expired’ pada hari penerbangan, ini tindakan yang perlu dilakukan segera:
- Bawa dokumen sokongan: Pasport lama, itinerari penerbangan, dan gambar pasport dalam bentuk soft copy.
- Pergi ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) terdekat.
- Terangkan situasi anda kepada staf imigresen di UTC. Permohonan anda bergantung pada budi bicara mereka.
Pasport baharu boleh digunakan terus, tetapi proses pengemaskinian maklumat penerbangan mungkin mengambil masa. Jika tiket penerbangan menggunakan nombor pasport lama, kebiasaannya tiada masalah. Namun, untuk destinasi seperti Korea (melibatkan K-ETA), anda perlu memastikan maklumat terkini dimasukkan.
Tip tambahan: Hubungi syarikat penerbangan dan jelaskan situasi anda. Sesetengah syarikat penerbangan seperti Qatar Airways mungkin membantu menjadualkan semula penerbangan tanpa caj tambahan.
2. Pasport Hilang Sebelum Penerbangan
Kehilangan pasport sebelum berlepas memang mencabar. Berikut langkah yang perlu diambil:
- Hubungi pihak imigresen untuk mendapatkan panduan awal.
- Buat laporan polis di balai polis UTC. Pegawai di UTC biasanya lebih memahami kes berkaitan pasport.
- Cetak dokumen penting seperti itinerari penerbangan atau dokumen lain yang menyokong keperluan anda membuat pasport baharu.
- Sediakan gambar pasport dalam bentuk soft copy untuk mempercepatkan proses permohonan.
- Bersedia untuk membayar denda dan kos lain yang berkaitan.
Nota penting: Pihak polis kini lebih berhati-hati dengan kes sindiket penjualan pasport, jadi pastikan anda membawa dokumen yang lengkap untuk mengelakkan permohonan ditolak.
Langkah Pencegahan
Untuk mengelakkan situasi kecemasan seperti ini, pastikan anda sentiasa bersedia:
- Simpan gambar halaman maklumat diri dalam pasport di Google Drive, e-mel, atau iCloud.
- Periksa tarikh tamat tempoh pasport sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh perjalanan.
- Sentiasa sediakan wang kecemasan untuk hal-hal seperti pembaharuan pasport.
Jika anda berdepan situasi seperti ini, kekal tenang dan ikuti langkah yang telah disebutkan. Semoga perjalanan anda berjalan lancar!