Tahu Tak? Premis Tanpa Sijil Halal Tak Boleh Guna Perkataan 'Buffet Ramadan'
Ramai yang tidak sedar bahawa penggunaan istilah seperti "Buffet Ramadan" atau "Iftar Ramadan" bukanlah sesuatu yang boleh digunakan sewenang-wenangnya. Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, mana-mana premis makanan yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah dilarang menggunakan frasa yang boleh mengelirukan pengguna Muslim.
Istilah Yang Dilarang Digunakan
Bagi premis yang tidak mempunyai sijil halal, mereka tidak boleh menggunakan ungkapan seperti:
- Makanan orang Islam
- Buffet Ramadan
- Iftar Ramadan
- Jom sahur
- Jom iftar
- Set Ramadan
- Muslim Friendly
- Selera Rasa Ramadan
- Selamat Berbuka Puasa
- Ramuan diperbuat daripada kilang yang dipersijilkan halal
Atau mana-mana ungkapan lain yang merujuk kepada makanan yang ditawarkan sebagai halal dan boleh dimakan oleh umat Islam. Ini bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Muslim yang mementingkan status halal makanan yang mereka nikmati.
Kenapa Banyak Hotel Gunakan Nama Lain?
Jika diperhatikan, banyak hotel dan restoran memilih untuk menggunakan nama seperti "Sajian Warisan", "Sajian Nusantara", "Citarasa Kampung", dan pelbagai lagi ketika mempromosikan bufet mereka sepanjang Ramadan. Ini kerana tidak semua premis mempunyai sijil halal dan mereka tidak dibenarkan menggunakan istilah seperti "Buffet Ramadan". Bagi yang memiliki sijil halal, mereka boleh terus menggunakan istilah tersebut tanpa sebarang masalah.
Risiko dan Hukuman Jika Melanggar Peraturan
Bagi premis yang melanggar peraturan ini, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Hukuman ini bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna Islam dan memastikan mereka tidak terpedaya dengan iklan yang mengelirukan.
Tip Memilih Bufet Ramadan yang Halal
Jika anda bercadang untuk berbuka puasa di hotel atau restoran, pastikan premis tersebut memiliki Sijil Halal Malaysia. Antara cara untuk mengenal pasti:
- Lihat poster promosi mereka – jika tertera "Buffet Ramadan", kemungkinan besar premis itu mempunyai sijil halal.
- Semak senarai premis bersijil halal di laman web rasmi JAKIM atau aplikasi halal Malaysia.
- Bertanya terus kepada pihak pengurusan mengenai status halal mereka.
Kesedaran mengenai isu ini amat penting, terutamanya ketika bulan Ramadan di mana ramai yang ingin menikmati hidangan berbuka dengan yakin dan tenang. Semoga dengan perkongsian ini, lebih ramai pengguna Muslim lebih berhati-hati dalam memilih tempat makan yang benar-benar menepati standard halal yang ditetapkan.