Nampaknya, rakyat Malaysia betul-betul melepaskan gian untuk melancong. Pada ahad, 6 Jun 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan mula digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020.
Antara aktiviti yang dibenarkan dalam PKPP adalah perjalanan merentas negeri dan juga sektor pelancongan domestik dibuka semula.
Sehubungan dengan itu, sektor perhotelan di Langkawi telah menerima 1,000 tempahan daripada pelancong domestik sebaik sahaja pengumuman mengenai perkara itu diumumkan oleh perdana menteri dan disiarkan di kaca televisyen.
Ketua Pegawai Ekesekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir menyifatkan perkembangan tersebut sebagai permulaan positif bagi industri pelancongan bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan impak pandemik COVID-19.
“Untuk makluman juga, pada jam 4 petang sehingga 4:45 petang tadi kita telah menerima 1,000 tempahan dalam masa sejam.
"Ini adalah rekod, semua hotel-hotel kita telah menerima 1,000 tempahan daripada semua pelancong domestik yang hendak ke Langkawi,” ujarnya.
Malah katanya, LTA juga menyasarkan satu juta pelancong domestik masuk ke Langkawi bermula 10 Jun sehingga 31 Disember nanti.
Namun katanya, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan lebih lanjut khususnya mengenai penggunaan fasiliti di hotel.
“Bermula 10 sehingga 31 Disember kita akan sasarkan 1 juta pelancong domestik ke Langkawi.
Sumber : Langkawi Travels
"Tetapi, kita ada sedikit kemusyilan, kita patut jawab (persoalan tentang) fasiliti-fasiliti yang boleh gunakan di hotel seperti kolam renang.
"Orang bercuti bawa anak, bawa keluarga, sudah tentu kita nak gunakan kolam renang tapi dalam pegumuman PM tadi tidak secara terperinci. Saya akan berjumpa dengan Menteri Pelancongan sendiri untuk mendapat garis panduan yang ditetapkan,” katanya lagi.
Bagaimanapun katanya, pusat peranginan seperti Kereta Kabel Langkawi, Taman Tema Langkawi dan Taman Langkawi masih belum dibuka kepada umum.
Sumber : Astro Awani