Antara destinasi pelancongan paling terkenal di Malaysia, Pulau Pinang yang kaya dengan warisan dan sejarah, pantai dan laut yang indah, masyarakat yang ramah serta senarai makanan terkenal, kalau tak cuba memang tak sah !
Bagai sinar mentari selepas hujan, Pulau Pinang yang turut terkesan dengan krisis pandemik COVID-19 kini bersedia membuka pintu masuk ke negeri mereka buat para pelancong. Bagaimanapun, kerajaan negeri juga cakna dengan keperluan untuk mengadaptasi norma kehidupan baharu (new norms) walaupun dalam sektor pelancongan.
Sebelum ini, kerajaan negeri bercadang untuk membuka sektor ekonomi mereka secara berperingkat dan menggunakan pelbagai prosedur keselamatan, dengan sektor pelancongan dijadualkan untuk mula beroperasi pada suku ketiga dan keempat (Q3 dan Q4 tahun 2020.
Kini, kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk melaksanakan sebuah konsep yang dinamakan 'travel bubble' atau 'travel corridors' . Konsep ini membenarkan pelancong yang hadir dari kawasan yang selamat atau dari wilayah yang mempunyai kadar jangkitan COVID-19 rendah untuk melancong dan bergerak secara bebas. Konsep ini telah digunapakai di New Zealand, Australia dan beberapa negara Eropah.
Sebagai contoh, negara-negara Eropah seperti Lithuania, Estonia dan Latvia telah memperkenalkan apa yang mereka sebut sebagai "Baltic Travel Bubble", membolehkan warga ketiga-tiga negara ini melakukan perjalanan di antara ketiga-tiga negera tersebut tanpa perlu melalui proses kuarantin.
Hasilnya, Ketiga-tiga negara tersebut terus berjaya membendung wabak virus corona dengan hanya sedikit kes kematian direkodkan.
Konsep yang sama digunakan di Pulau Pinang dengan hanya membenarkan pelancong-pelancong dari negeri yang diklasifikasikan sebagai zon hijau.
Gambar stok : Yeoh Soon Hin
Sumber : Malay Mail
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata konsep itu adalah langkah yang dikaji dalam usaha untuk merencanakannya sebaik sahaja kerajaan Persekutuan menarik semula larangan perjalanan rentas negeri.
“Memandangkan Pulau Pinang sedang mengamalkan Strategi Pemulihan Berperingkat, ini mungkin menjadi penyelesaian berdaya maju untuk memulakannya, berbanding membuka semua sempadan kami secara serentak dan membangkitkan risiko penularan semula,” katanya.
Beliau berkata pendekatan secara beransur-ansur dan berperingkat akan membolehkan zon perjalanan selamat antara zon hijau dan membuka semula ekonomi untuk sektor pelancongan.
Sebaliknya, Yeoh berkata tahap awal konsep travel bubble hanya boleh dihadkan dalam kawasan tarikan pelancongan di Pulau Pinang sebelum berkembang ke negeri lain.
“Kami akan memulakan ekonomi pelancongan secara beransur-ansur, tetapi melalui pemantauan berterusan kemajuannya sebelum kami teruskan kerana ia adalah keutamaan negeri ini untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai zon hijau sebelum membuka sempadan pelancongannya kepada orang luar,” katanya dan menambah pendekatan yang dicadangkan akan dibangkitkan semasa mesyuarat pasukan kerja pelancongan akan datang.
Sumber : John at flickr
Dalam pada itu, pengusaha industri pelancongan di negeri ini juga layak untuk mendapat pinjaman berjumlah RM10 juta di bawah Skim Pinjaman Sifar Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang (Skim Peka 2.0).
Yeoh Soon Hin berkata pinjaman tanpa faedah itu ditawar menerusi Pakej Bantuan Pulau Pinang 2.0 kepada pengusaha industri pelancongan yang layak.
“Memandangkan negeri ini berusaha ke arah merumuskan satu perancangan pemulihan pelancongan jangka panjang, kami berharap pinjaman tanpa faedah ini boleh meringankan beban kewangan mereka yang terlibat dan memperbaiki aliran tunai sektor yang terlibat dalam pelancongan,” katanya.
Sumber : Bernama