Selepas sedekad beroperasi sebagai Malindo Air, syarikat tersebut telah secara rasminya dijenamakan semula sebagai Batik Air pada satu majlis.
Majlis Pelancaran dan Penjenamaan Semula Batik Air dan Pesawat Terbaru Boeing 737-8 tersebut telah diadakan di Sepang dan dirasmikan oleh ,Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, Pengasas Kumpulan Lion Air Bapak Rusdi Kirana, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Datuk Kapten Chester Voodan Pengerusi MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kassim.
Kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, penjenamaan tersebut dalah satu usaha yang memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada syarikat penerbangan itu, tetapi juga industri aeroangkasa dan pengangkutan udara,
“Saya mengucapkan tahniah kepada Batik Air kerana berjaya menyelesaikan usaha penjenamaan semula ini dan memperkenalkan Batik Air sebagai syarikat penerbangan baharu dan berkembang, yang menawarkan perkhidmatan kompetitif di Malaysia dan rantau Asia Pasifik, terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya juga difahamkan bahawa pelan strategik Batik Air yang baru dijenamakan semula adalah seiring dengan kumpulan syarikat penerbangan Lion Group dan menjadikan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sebagai pintu masuk untuk penumpang transit dari Indonesia ke tempat-tempat di Asia Pasifik dan sebaliknya.

“Batik Air akan mempromosikan pemindahan lancar penumpang ini melalui KLIA dan seterusnya membangunkan kekuatan rangkaiannya dengan syarikat penerbangan Lion Group serta perkongsiannya dengan syarikat penerbangan lain. Ini akan meningkatkan pertumbuhan dan kesalinghubungan masa depan KLIA dan pasaran penerbangan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mushafiz berkata penjenamaan semula itu akan membolehkan syarikat penerbangan itu diselaraskan dengan syarikat penerbangan serantaunya, Batik Air Indonesia dan diiktiraf sebagai entiti yang lebih luas di peringkat antarabangsa dan ini seiring dengan syarikat penerbangan Lion Group.
Syarikat Pertama di Malaysia Guna Boeing 737-8 Baharu
Pelancaran pesawat Boeing 737-8 baharu adalah sebahagian daripada pertumbuhan kapasiti dan strategi pengembangan pesawatnya untuk menyediakan lebih banyak laluan baharu dan pilihan perjalanan lebih baik.
Batik Air merupakan syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang akan mengendalikan pesawat Boeing 737 yang baharu ini, dan 17 unit pesawat baharu itu bakal diperoleh menjelang akhir tahun ini.
Katanya, Boeing 737-8 amat cekap dari segi penjimatan minyak dan mampu terbang lapan jam tanpa henti selain jadi pilihan lebih 40 syarikat penerbangan seluruh dunia.