Malaysia Airlines baru-baru ini melancarkan pesawat B737-800 NG yang diperbaharui. Pembaharuan ini menawarkan pengalaman kabin baharu yang katanya lebih premium termasuk tempat duduk baharu, sistem hiburan dalam penerbangan dikenali sebagai MHstudio, dan bahagian dalaman yang diperbaharui yang membawa identiti Malaysia.
Pesawat dengan kabin yang diperbaharui itu dijadualkan akan mula digunakan bermula akhir Julai 2022 dan akan digunakan ke lebih banyak destinasi domestik dan serantau (ASEAN) secara berperingkat.
Secara keseluruhan, terdapat 38 pesawat B737-800 NG akan melalui proses pembaharuan yang sama, di mana kesemua pembaharuan ini dijangkakan selesai pada pertengahan 2023.
Proses pengubahsuaian kabin ini sebenarnya telah bermula pada 2021, dengan mengambil kira maklum balas dan cadangan yang diterima melalui tinjauan pelanggan dan pelbagai sesi perbincangan berfokus pada 2020.
Kabin yang diperbaharui ini dilengkapi dengan konfigurasi tempat duduk kabin baharu. Ia menawarkan 12 tempat duduk Kelas Perniagaan dan 162 tempat duduk Kelas Ekonomi, dengan konfigurasi tempat duduk 2-2 dan 3-3 masing-masing.
Dengan persekitaran kabin yang menampilkan skema warna cerah dan menyegarkan seiring identiti Malaysia Airlines. Para penumpang akan melihat penyerapan motif batik ikonik Malaysia di seluruh kabin, daripada upholsteri ke langsir.
Sementara itu, tempat duduk baharu dibina secara ergonomik dengan kulit upholsteri ringan dan direka untuk memberikan keselesaan yang lebih kepada penumpang dan dengan fungsi yang dipertingkatkan kerana ia dilengkapi dengan pemegang peranti peribadi dan alur keluar kuasa untuk mengecas peranti peribadi mereka sendiri.
MHStudio
B737-800 NG yang diperbaharui ini juga memperkenalkan hiburan dalam penerbangan tanpa wayar yang dipanggil MHstudio yang boleh dilayari secara atas talian melalui peranti milik sendiri, sama ada tablet, telefon bimbit, dan komputer riba.
MH Studio akan menyediakan pelbagai hiburan daripada program TV, filem, podcast, muzik dan bahan bacaan pilihan. Untuk pengalaman terbaik, penumpang digalakkan membawa peranti mendengar dan kabel pengecas mereka sendiri di atas kapal terbang.
Penumpang juga boleh membeli-belah barangan tanpa cukai menerusi Temptations di MHStudio dan juga boleh menambah makanan ringan dalam penerbangan daripada katalog beli dalam kapal yang dipanggil MHskysnacks.
Lebih Mesra Alam
Dengan pengenalan hiburan dalam penerbangan tanpa wayar, tempat duduk yang lebih ramping, dan pembahagi kabin lembut yang diperbuat daripada bahan ringan, menyumbang kepada usaha kemampanan berterusan syarikat penerbangan itu di mana pembakaran bahan api pesawat bagi setiap penumpang akan bertambah baik sebanyak 8%, menghasilkan jejak karbon yang lebih rendah.
Adakah Tindakan Baik ?
Tindakan Malaysia Airlines menggantikan skrin 'In-Flight Entertainment' (IFE) dengan MHStudio yang perlu dilayari melalui peranti sendiri sudah pasti satu tindakan revolusi dan berani. Tetapi, adakah benar-benar tindakan yang baik ?
Bagi kami, kami kurang setuju. Bagaimanakah dengan penggunaan peranti bagi keluarga. Adakah perlu mempunyai peranti setiap seorang? Bagaimanakah dengan suhu peranti sendiri? Bagaimanakah dengan saiz telefon bimbit yang terlalu kecil?
Terlalu banyak persoalan bagi kami mengapa langkah ini dilakukan sedang pelbagai syarikat penerbangan lain di rantau ini seperti Singapore Airlines, Garuda Indonesia, Thai Airways, malah Vietnam Airlines juga melakukan perubahan ke arah lebih baik, Malaysia Airlines seolah-olah berundur ke belakang.
Buat masa ini kami rasa macam tiada perbezaan antara servis Malaysia Airlines dengan syarikat penerbangan tambang murah, melainkan pada harganya yang jauh lebih mahal.