Pakatan Harapan (PH) membuat tawaran harga tiket penerbangan bermula serendah RM199 bagi perjalanan balik ke Sabah atau sebaliknya jika mereka berjaya menjadi kerajaan persekutuan.
Calon PH di Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, semasa manifesto PH atau dipanggil tawaran 'kita boleh' PH disediakan, beberapa perkara khas untuk Sabah turut dimasukkan supaya hak-hak Sabah dapat ditunaikan.
Ia termasuklah menuntut dan mencadangkan supaya harga tiket penerbangan yang munasabah untuk rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Kuala Lumpur dan bila mereka balik ke negeri masing-masing.
Bukan hanya musim pilihan raya tetapi ketika balik melawat ibu bapa di kampung perlu ada harga tetap, seragam untuk rakyat Sabah dan Sarawak, sebab itu harga dicadangkan adalah RM199.
Tawaran tersebut dinamakan inisiatif kembara siswa di mana PH menawarkan harga tiket penerbangan pada harga tetap RM199 untuk ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya dengan had dua tiket setahun bagi setiap mahasiswa jika berjaya menjadi kerajaan kali ini.
Ewon berkata PH akan pastikan syarikat-syarikat penerbangan akan melaksanakan tawaran itu selepas berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan nanti.