Haaa, ini dia berita paling mengujakan untuk harini. Syarikat penerbangan yang kita benci-benci sayang iaitu Air Asia, mengumumkan beberapa laluan baharu anak syarikat mereka iaitu Air Asia X, seiring dengan pembukaan sempadan pelbagai negara dan pemulihan syarikat penerbangan tersebut serta keseluruhan industri penerbangan pasca pandemik COVID-19.
Antara langkah awal Air Asia X bagi kembali bernyawa setelah 2 tahun terhenti adalah dengan membuka laluan perjalanan dari KLIA2 ke Sydney, Seoul (Incheon) dan New Delhi.
Terbaru, mereka mula membuka 4 laluan baharu di Jepun dan Hawaii. Laluan penerbangan tersebut adalah dari Kuala Lumpur ke Tokyo (Haneda), Sapporo (Chitose), Osaka (Kansai), dan daripada Osaka (Kansai) ke Honolulu.
Bermakna, AAX kini menawarkan penerbangan ke tujuh laluan popular dari Kuala Lumpur ! Satu permulaan yang baik buat Air Asia X untuk kembali bernyawa selepas pandemik COVID-19.
Tempahan Tiket
Orang ramai kini boleh membeli tiket penerbangan AirAsia X dari serendah RM499 sehala, untuk tempahan dari sekarang sehingga 26 Jun 2022, dan terbang antara 1 Julai 2022 sehingga 26 Mac 2023.
Tiket Premium Flatbed yang menyediakan kerusi lebih luas dan boleh dibaringkan untuk tidur, ditawarkan dari RM1,499 sehala untuk tempoh promosi dan penerbangan yang sama.
Laluan Baharu ke Dubai, Istanbul & London
Tetapi perkara paling penting dalam pengumuman AirAsia X adalah penerbangan baru ke tiga destinasi yang akan bermula tidak lama lagi iaitu London, Dubai dan Istanbul.
Penerbangan ke London, Dubai dan Istanbul masih belum disahkan bila akan bermula kerana AirAsia X masih menantikan kebenaran pihak berkaitan. Tetapi mereka menjangkakan akan mula menjual tiket dalam tempoh sebulan dari sekarang.
Dalam pada itu, AirAsia X juga akan meningkatkan lagi jumlah penerbangan ke semua destinasi secara berperingkat. Di samping itu, AirAsia X akan terus menambah jumlah pesawat dan berharap untuk mengambil kembali para juruterbang serta kru kabin secara beransur-ansur.
AirAsia X mensasarkan kapasiti penerbangan beberapa laluan utama mereka, akan kembali seperti sebelum pandemik COVID-19 dalam tempoh 12 bulan akan datang.