Orang ramai yang berkunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dilihat teruja dengan kepelbagaian pameran, jualan dan aktiviti yang dianjurkan bermula 4 Ogos hingga 14 Ogos ini.
Malah, ada yang menyifatkan MAHA 2022 ibarat taman tema yang bukan sahaja menawarkan suasana yang menyeronokkan untuk kanak-kanak, tetapi juga syurga makanan apabila pelbagai jenis sampel makanan percuma disediakan, serta jualan pelbagai produk makanan dan minuman dalam dewan, khemah perniagaan, dan juga 'foodtruck'. Ini bermakna pengunjung tidak akan kelaparan ke sana, masuk pun secara percuma.
Antara tarikan yang disediakan, pelbagai jenis pameran haiwan, pokok, flora, fauna, makanan dan perhiasan dan juga Castle of Fruits yang mempunyai ejumlah 11,111 produk jualan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan florikultur.
Selain itu, Pavilion negeri-negeri juga amat menarik untuk dikunjungi. Rekabentuk pavilion yang memukau juga boleh dijadikan lokasi untuk ‘selfie’ atau bergambar bersama keluarga dan rakan-rakan.
Pengunjung juga boleh membeli barangan ikonik atau keluaran setiap negeri di Pavilion yang ditampilkan pada MAHA 2022.
Bagaimanapun, pengunjung perlu ada persiapan mental dan fizikal jika ingin bertandang ke MAHA 2022. Kawasannya amat luas dan boleh jadikan anda mandi keringat.
Pastikan memakai kasut yang selesa kerana perlu berjalan jauh. Kerusi roda disediakan bagi mereka yang tidak larat berjalan. Malah, tram/ shuttle turut disediakan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di lokasi pameran. Tempat letak kereta pula dikenakan caj RM5, manakala tempat letak motosikal adalah percuma.
Secara keseluruhan, MAHA 2022 menyediakan 1,500 gerai pameran dengan potensi nilai jualan lebih RM250 juta.
Lapan laman disediakan, antaranya pertanian dan penternakan dengan 22 segmen yang menampilkan tarikannya tersendiri.