HalalXPlorer Logo
17 tips berkenaan expo maha 2022
11 August 2022

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022

Kongsikan:

Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro Perlancongan Malaysia 2022 ataupun akronimnya, MAHA 2022 sedang berlangsung bermula dari 4 Ogos sehingga 14 Ogos di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022

Kali ini, MAHA 2022 telah menampilkan tema ‘Sekuriti Makanan untuk Masa Depan’, bersesuaian dengan realiti yang kita hadapi pada masa ini. Pameran ini akan memberikan pencerahan mengenai kepentingan untuk memastikan bekalan makanan nasional mencukupi kepada masyarakat.

Disebabkan pameran ini menggabungkan pameran dalam & luar dewan, serta memerlukan ruang yang banyak maka kawasan pameran keseluruhan sangat luas yang membuatkan pengunjung perlu banyak berjalan dan menghabiskan masa yang lama disini.

Oleh itu, Jabatan Pertanian Malaysia telah menyediakan beberapa tips untuk membantu anda merancang lawatan anda ke MAHA 2022 dengan baik.

Tips ke MAHA 2022

1. PASTIKAN BAKI KAD TOUCH N' GO ANDA MENCUKUPI

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : The Star

Haaa, sebelum apa-apa pun, pastikan perkara ini diutamakan dahulu sebab ini melibatkan parking kereta. Kalau hal ini pun belum selesai, macamana nak ke pameran MAHA 2022.

Untuk pengetahuan anda, untuk meletak kenderaan di kawasan MAEPS Serdang, sistem yang digunakan adalah tanpa tunai dan menggunakan bayaran Touch N' Go dengan kadar RM5.

Jadi, pastikan baki kad Touch N' Go anda mencukupi sebelum memasuki kawasan letak kenderaan. Jangan dah sampai di hadapan palang baru nak mencari-cari kad, kena pula bakinya tak cukup. Aduh !

Bukan apa, perkara ini akan melambatkan pergerakan trafik seterusnya menyebabkan kesesakan yang akhirnya menyusahkan semua orang.

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022

Sebanyak 5,000 lot letak kereta disediakan di Laman Tiba 1 manakala sebanyak 3,500 lot letak kereta di Laman Tiba 2 disediakan bagi kemudahan pengunjung sepanjang MAHA 2022 berlangsung.

Tapi kalau anda letak kenderaan di bahu jalan, atau mana-mana saja kawasan lain itu lain cerita lah ya.

2. PEMILIHAN KASUT BERSESUAIAN

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit : Diva.my

Kawasan tapak pameran MAHA sangat luas, dan bukan kesemuanya di dalam dewan berhawa dingin. Anda terpaksa meredah kawasan rumput, berjalan di atas tar dengan panas mentari, berhimpit di tram yang disediakan dan sebagainya.

Jadi untuk wanita, sila pakai yang selesa seperti kasut bertapak rata, kasut sukan ataupun sandal yang selesa. Anda sangat tidak digalakkan untuk memakai kasut tumit tinggi seperti stiletto.

Anda mungkin menyesal terpaksa menanggung rasa sakit kaki pada disebabkan pemilihan kasut yang tidak sesuai.

Untuk lelaki, pastilah anda juga kena memilih kasut yang sesuai. Tapi kami tak tekankan dalam tips ini sebab jaranglah kami nampak lelaki pakai stiletto. ?

3. BAWA PAYUNG BERSAMA

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : Republika

Pengunjung juga sangat digalakkan untuk membawa payung. Seperti kami katakan tadi, sebahagian daripada pameran MAHA 2022 akan diadakan di luar bangunan dan sudah semestinya cahaya matahari akan menemani diri anda nanti.

Untuk mengurangkan kadar pendedahan sinaran UV dalam jangka masa lama, anda digalakkan untuk membawa payung sendiri. Payung ini juga berguna sekiranya hujan turun secara tiba-tiba di kawasan pameran.

Bersesuaian dengan pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

4. BAWA STROLLER ATAU CARRIER JIKA ADA ANAK KECIL

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : Reviewed

Jika anda membawa anak kecil, anda digalakkan untuk membawa stroller ataupun carrier. Hal ini akan memudahkan pegerakan ibu bapa kerana tidak perlu mendukung dalam jangka masa panjang.

Kalau anak dah boleh berjalan sekalipun, disebabkan kawasan ini yang sangat luas dan padat dengan pengunjung, pasti sukar untuk kita mengawal pergerakan anak-anak dan menyebabkan mereka hilang. Jadi, lebih selamat jika ada stroller.

Kalau jenis anak tidak mahu duduk dalam stroller atau anak di usia sekolah rendah, pastikan anak-anak anda berada dalam kawalan anda. Jegilkan mata anda jika perlu.

5. PERSIAPKAN MENTAL DAN FIZIKAL UNTUK BERJALAN JAUH

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : Dr Jim Taylor

Lihat semula apakah keperluan diri anda sebelum berjalan jauh. Jika anda mudah berlecak, jangan lupa memakai deodoran dan wangian.

Jika anda tidak tahan panas, pastikan pakaian anda jenis ringan dan tidak berwarna gelap yang menyerap haba.

Jika anda mudah dehidrasi, jangan lupa sediakan botol air mineral besar.

Jika anda mempunyai anak kecil, jangan lupa segala kelengkapan yang mereka perlukan.

Macam-macam lagi. Apa kata, berhenti baca artikel ini sekejap dan fikir apa yang anda perlukan.

6. TIDAK SESUAI MEMBAWA WARGA EMAS

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit : The Malaysian Reserve

Bukannya kita nak menyekat kebebasan ataupun menghalang daripada berkunjung ke MAHA 2022. Tetapi, berdasarkan pemerhatian lokasi dan jumlah pengunjung, adalah sangat tidak digalakkan untuk membawa warga emas yang mengalami kesukaran ketika berjalan.

Walaupun memakai tongkat, kudrat yang dimiliki oleh orang muda dan warga emas adalah tidak sama dan golongan ini lebih berisiko untuk terjatuh sewaktu pameran.

Jika anda ingin membawa warga emas untuk mengunjungi ekspo ini, anda digalakkan untuk membawa insan tersayang dengan menggunakan kerusi roda demi menjaga keselamatan mereka. Tetapi, pastikan anda juga mempunyai tenaga yang cukup !

7. TERDAPAT PELBAGAI JUALAN MAKANAN & MINUMAN

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : Kosmo! Digital

Walaupun anda perlu berjalan jauh, jangan risau. Anda tidak perlu lagi untuk membawa bekal berserta pinggan mangkuk kerana terdapat banyak gerai-gerai yang menawarkan makanan dan minuman yang lazat kepada anda. Anda hanya perlu membawa barangan yang penting sahaja seperti air mineral untuk mengelakkan dehidrasi.

8. SEDIAKAN KELENGKAPAN UNTUK KECEMASAN

Kepada ibu bapa yang membawa anak-anak, sila bawa beberapa paket tisu basah sebagai satu langkah kecemasan jika anak anda membuang air kecil dan air besar kerana tandas disini sangat terhad disebabkan jumlah pengunjung yang ramai.

Dikhuatiri juga lokasi tandas adalah jauh dari mana anda berada disebabkan tapak pameran ini yang luas.

Anda perlu beratur dan menunggu lama untuk ke tandas, dan kelajuan air di tandas sangat perlahan disebabkan ramai pengguna.

Jika anak-anak anda seorang yang kerap membuang air kecil, lebih elok dipakaikan lampin bagi mengelak mereka ‘melepaskan hajat' di atas jalanan.

9. BAWA KELENGKAPAN SOLAT

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : BHarian

Bagi pengunjung yang beragama Islam, terutamanya Muslimah anda perlu membawa kelengkapan solat seperti telekung sendiri kerana jumlah telekung yang disediakan sangat terhad.

Membawa telekung sendiri juga dapat mengurangkan risiko anda daripada terkena jangkitan COVID-19.

Surau yang tidak terlalu ramai adalah surau di dalam dewan D.

10. JANGAN MERANCANG KE DESTINASI LAIN

Pastikan anda tidak memiliki rancangan lain selepas mengunjungi pameran ini supaya anda lebih relaks dan tidak perlu tergesa-gesa sewaktu ke MAHA 2022 ini. Anda boleh berjalan-jalan, makan-makan, solat dan berehat dalam keadaan yang tenang.

Sekurang-kurangnya separuh hari juga akan dihabiskan disini. Kalau kalut-kalut pun tak seronok jug

11. BAWA TROLI, BEG BESAR ATAU BAKUL PASAR

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : Utusan Malaysia

Jika anda seorang pencinta produk agro ataupun memiliki kebarangkalian untuk berbelanja sakan, anda dinasihatkan untuk membawa troli, beg besar ataupun bakul pasar. Barang-barang yang dibeli boleh dimasukkan dalam satu tempat sahaja dan memudahkan pergerakan anda.

Kena ingat, diskaun yang ditawarkan pada waktu pameran ini bukan calang-calang tetapi tiada siapa yang sanggup melihat anda mengangkat pasu yang beratnya lebih 2 kg ke hulu ke hilir.?

12. AMBIL PELUANG RASAI 'TESTER' PERCUMA

Jangan merasa segan untuk merasa ‘tester’ makanan yang ditawarkan sewaktu pameran ini berlangsung. Jika anda rasa malu-malu, anda akan terlepas peluang yang mungkin hanya akan datang sekali dalam seumur hidup. Kucing di rumah anda pun tidak mampu untuk memujuk anda meratapi kehilangan peluang keemasan ini.

13. PARKIR KERETA DI KAWASAN YANG BETUL

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : Kebuna Putrajaya

Jika anda mahu membeli makanan terlebih dahulu, anda boleh meletakkan kereta di tapak letak kenderaan melalui pintu masuk berdekatan UPM & Hospital Serdang kerana anda akan tiba di ruang pameran dalam dewan dahulu sebaik sampai di Laman Tiba 1. Sebanyak 5,000 lot letak kereta disediakan di sini

Tetapi, kalau anda mahu untuk membeli pokok-pokok ataupun mahu berjalan-jalan ke Laman Florikultur, Laman Perikanan, Laman Ternakan, anda boleh parkir kereta anda di pintu besar berdekatan Lebuh Raya SKVE menghala ke Bangi. Disini ada 3,500 lot letak kereta. Selepas itu anda akan menaiki tram sehingga ke Laman Tiba 2.

14. LETAK KENDERAAN DI TEMPAT PALING JAUH

Kalau anda tiada niat berjalan kaki dari tempat letak kenderaan ke pameran MAHA, sila letakkan kereta anda di kawasan hujung, atau yang paling jauh dari tapak pameran supaya anda boleh menaiki tram dari stesen paling awal.

Di stesen paling awal, tram masih lagi kosong dan anda akan mendapat tempat duduk. Jika anda letakkan kenderaan di stesen pertengahan laluan tram, anda perlu berebut dan selalunya tram sudahpun penuh disebabkan pengunjung lain telah naik lebih awal dan tidak akan turun pun sebelum sampai ke tapak pameran.

Akhirnya anda tak dapat naik pun. Mereka akan melambaikan tangan dan memberikan ‘senyuman yang paling indah’ kepada anda. 

15. JAGA KESELAMATAN & KESIHATAN DIRI

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : Allergy & Asthma Network

Sila pakai pelitup muka dan sentiasa melakukan proses sanitasi anda.  Jika anda mengalami simptom-simptom seperti demam, batuk dan selsema, sila duduk di rumah terlebih dahulu.

Jika anda ke MAHA 2022, berusaha sebaik mungkin untuk menjaga jarak dan tidak bersentuhan dengan pengunjung lain. Ingat, kita masih belum menang dalam menangani wabak COVID-19.

16. DATANG AWAL ELAK KESESAKAN

Anda digalakkan untuk datang seawal pameran bermula iaitu jam 9.00 pagi. Anda boleh memilih tempat parkir yang disukai dan dapat menikmati kunjungan anda sewaktu tempat pameran kurang sesak. Tambahan lagi, waktu pagi tak adalah panas terik sangat kan. Boleh berjalan dengan lebih selesa.

17. GUNAKAN PENGANGKUTAN AWAM

17 Tips Penting Wajib Baca Sebelum Anda ke MAHA 2022
Kredit Gambar : MyCar

Jika anda risau akan masalah kesesakan, kesesatan dan sebagainya, lebih elok jika anda menggunakan pengangkutan awam untuk ke MAEPS Serdang. Antara pilihan yang ada adalah bas RapidKL dan perkhidmatan E-Hailing seperti Grab dan MyCar. Lokasi bagi menurun dan mengambil penumpang adalah di parking M1.


Akhir sekali, kami sangat mengalu-alukan kehadiran anda ke ekspo tahunan ini. Kata-kata terakhir daripada kami, Selamat Datang ke MAHA 2022 Pameran Pertanian Terulung Malaysia.

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Misael Holland
28 days ago

Hi! I just finished reading your blog post, and I must say, it was excellent. Your ability to explain complicated concepts in a simple and engaging way is truly remarkable. Thank you for providing such valuable content. I can’t wait to read more from you in the future.

PILIHAN PEMBACA