Buat warga Pantai Timur terutamanya dari negeri Kelantan, selepas ini semakin mudah untuk melancong ke Pulau Langkawi. Tak perlu transit di lapangan terbang lain lagi dah, sekaligus memudahkan dan memendekkan lagi perjalanan. Yelah, sebelum ini perlu transit di Kuala Lumpur dulu ataupun melakukan perjalanan darat yang meletihkan.
Terbaru, Malindo Air telah memperkenalkan laluan penerbangan baharu Kota Bharu-Langkawi-Kota Bharu secara terus. Tempahan telah dibuka dan penerbangan pertama dijadualkan akan bermula 27 Januari ini.
Tambang promosi untuk sehala bagi laluan baharu Kota Bharu-Langkawi bermula daripada RM169, termasuk elaun bagasi percuma 15 kilogram (kg) walaupun kepada penumpang yang memilih jenis tiket Super Jimat.
Malindo Air memaklumkan, penerbangan empat kali seminggu ini adalah bagi memenuhi permintaan perjalanan domestik.
Penerbangan OD1334 akan berlepas dari Kota Bharu pada pukul 10.15 pagi dan tiba di Langkawi pada pukul 11.20 pagi dengan penerbangan akan mengambil masa 1 jam 5 minit. Penerbangan pergi balik OD1335 kemudiannya akan berlepas dari Langkawi pukul 2.50 petang dan tiba di Kota Bharu pukul 4.05 petang.
Perkhidmatan baharu itu akan dikendalikan oleh pesawat turbo-prop ATR72-600 dengan kapasiti 72 tempat duduk.