Orang ramai kini berpeluang untuk menyaksikan sendiri pelbagai spesies burung merak yang juga dikenali sebagai burung tercantik dunia di Taman Eko Burung Merak Perai di Taman Kimsar yang telah dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula 1 Januari lepas.
Terletak bersebelahan dengan Sungai Perai, Presiden Persatuan Rekreasi Burung Merak Eco Perai Pulau Pinang, D Paranthaman berkata, projek tersebut bertujuan mewujudkan lokasi rekreasi percuma buat para pengunjung selain memberi pendedahan mengenai perbezaan burung merak.
Taman eko tersebut dibina di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Bantuan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut diterima untuk membina taman tersebut yang mencecah perbelanjaan sebanyak RM350,000.
Mempunyai kawasan keseluruhan seluas sekitar 0.3 hektar, taman ini mempamerkan burung merak albino, burung merak India, burung merak campuran Jawa dan Belgium, serta burung merak Pied dan Black Shoulder dari Sepanyol di dalam sebuah sangkar berkeluasan 25 x 75 kaki persegi.
Orang ramai juga boleh beriadah di tepi sungai dan kolam bunga teratai yang dibina bersama sangkar ini.
Kemasukan ke taman tersebut adalah percuma supaya semua lapisan masyarakat boleh ke taman ini sambil beriadah dan menambahkan ilmu pengetahuan.