Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.
Berdasarkan laporan, harga tiket penerbangan dikatakan naik sehingga 500 peratus pada musim perayaan, dan beliau menyifatkan ia sebagai 'agak melampau' kerana rakyat tidak mempunyai alternatif untuk ke negeri-negeri berkenaan selain dengan menaiki kapal terbang.
Sehubungan itu perdana menteri meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk meneliti jika berlaku perlanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 berhubung kenaikan harga itu.
"KPDNHEP perlu tegas terhadap mana-mana pihak, tidak kira syarikat besar atau kecil yang mengambil untung berlebihan di bawah AKHAP... tindakan segera perlu diambil untuk menjaga kepentingan rakyat. Kita tidak akan membiarkan peniaga mengambil kesempatan pada waktu (sambutan) Hari Raya atau puasa untuk memberi tekanan kepada rakyat," katanya.
Selain KPDNHEP, Ismail Sabri berkata beliau juga telah meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk mencari jalan penyelesaian bersama dengan pengendali syarikat penerbangan bagi mengurangkan harga tiket, dan menurutnya beliau difahamkan pertemuan dengan pihak-pihak terlibat telah berlangsung.
Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga yang dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, iaitu peningkatan kira-kira 566 peratus berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama.
Sumber : Berita Harian