Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes berkongsi bahawa AirAsia kini bercadang untuk kembali beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang atau Subang Skypark.
Menurut Tony, AirAsia akan memohon lesen untuk mengendalikan penerbangan di Lapangan Terbang Subang apabila projek pembangunan semula lapangan terbang tersebut selesai selepas kali terakhir beroperasi di situ 20 tahun yang lalu.
Tony berkata Subang adalah lapangan terbang yang sentiasa dekat di hatinya dan beliau sering mengatakan bahawa adalah satu pembaziran aset jika LTAS tidak dibuka sepenuhnya.
Katanya, bandar besar seperti Kuala Lumpur seharusnya mempunyai dua lapangan terbang dan dikenakan harga yang berbeza.
"(Sebagai contoh) Lapangan Terbang Bandar London adalah lebih mahal berbanding Lapangan Terbang Heathrow untuk terbang dari dan ke mana-mana destinasi.
"Ia (pembangunan semula Lapangan Terbang Subang) adalah langkah yang amat berani dan keputusan yang tepat untuk industri penerbangan di Malaysia.
"Kami tidak bercadang untuk memindahkan sebahagian operasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), tetapi akan membuka operasi baharu di sini kerana mahu menyasarkan pasaran berbeza di Subang," katanya.
“Ia akan menjadi sangat emosional bagi saya jika saya melihat pesawat AirAsia di Subang [lapangan terbang] membawa penumpang. Saya akan bayangkan ia akan lebih mahal daripada KLIA, tetapi saya fikir ia adalah keputusan yang tepat,” kata Tony.
Ini susulan pengumuman awal Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mendedahkan bahawa kerajaan telah meluluskan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang.
Di bawah pelan tersebut, Lapangan Terbang Subang bersedia untuk menjalani transformasi besar dan menjadi hub penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum 8 juta penumpang.
Pelan tersebut akan melihat syarikat penerbangan dibenarkan untuk mengendalikan pesawat yang lebih besar seperti pesawat Airbus A320 dan Boeing 737 di Subang sama seperti sebelum ini.
Buat pengetahuan anda, Airasia dan Malaysia Airlines pernah beroperasi disini sebelum ia dihentikan pada 2002 apabila kedua-dua syarikat penerbangan tersebut diarah berpindah ke KLIA.