Johor Premium Outlet (JPO) di Senai, di sini, menawarkan diskaun sehingga 90 peratus bagi menyahut seruan kerajaan untuk menyemarakkan sektor pelancongan domestik yang sebelum ini lumpuh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.
Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan Johor menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad lalu, yang membenarkan pelancongan domestik ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang bermula hari ini.
Katanya, langkah itu dijangka dapat melonjakkan semula industri pelancongan negeri selain mempercepatkan pemulihan semula ekonomi negara dengan mengambil kira langkah keselamatan yang sentiasa dijadikan keutamaan bagi mengelak penularan pandemik COVID-19.
"Di Johor, kita amat gembira melihat sektor perhotelan, pelancongan dan peruncitan berganding bahu menyahut seruan kerajaan yang membuka semula sektor pelancongan domestik dengan menawarkan pelbagai pakej harga bilik menarik, promosi serta diskaun hebat bagi menarik pelancong tempatan berkunjung ke negeri ini.
"JPO di Senai yang menampilkan lebih 150 stor outlet pereka dan jenama terkenal dan terkemuka menawarkan diskaun sehingga 90 peratus terhadap produk mereka bermula hari ini.
"Hotel di Johor pula memperhebatkan promosi bilik. Antaranya Hard Rock Hotel Desaru Coast menawarkan diskaun sehingga lebih 50 peratus dengan menawarkan harga bilik bermula RM333 semalam manakala Desaru Tunamaya Beach & Spa Resort pula menawarkan harga bilik pada kadar RM120 semalam, selain menawarkan promosi hebat kadar RM1,000 untuk 11 hari dan 10 malam.
Sumber : Booking.com
"Johor juga mempunyai antara pulau terindah di dunia dengan Mersing mempunyai gugusan pulau seperti Pulau Rawa, Pulau Aur, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar.
"Keindahan Pulau Rawa yang keindahannya disamakan sebagai 'Maldives Malaysia'," katanya ketika dihubungi.
Sumber : Rawa Island Resort
Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor juga sedang merangka Pelan Pemulihan Pelancongan Johor (Johor Tourism Recovery Plan) untuk memulihkan dan merancakkan semula industri pelancongan negeri dengan pelan tindakan bersepadu.
Sementara itu, bagi pekerja swasta, Atikah Bahri,24, yang mengambil peluang hari pertama PKPP untuk melawat JPO teruja apabila menyaksikan tawaran diskaun sehingga 90 peratus.
"Ini adalah hari pertama saya membawa ibu, Rozita Abdullah, 55, dan Zahara, 15, keluar rumah selepas lebih tiga bulan tidak langsung meninggalkan rumah kerana mematuhi arahan PKP.
"Seronok dapat menghirup udara luar dan berjalan dan bila lihat ada diskaun sehingga 90 peratus di JPO, saya memutuskan membeli beberapa buah tangan untuk ibu dan adik kerana harganya sangat berbaloi, " katanya.
Sumber : Berita Harian