Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo, yang ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas, akan kembali menerima pengunjung apabila dibuka 15 Jun dengan ‘keselamatan diutamakan’.
Pembukaan ini adalah selaras dengan kebenaran untuk operasi pelancongan domestik yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
Sumber : Wikipedia
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata pembukaan semula pusat dan taman hidupan liar itu susulan pengumuman kerajaan yang membenarkan sektor eko-pelancongan kembali beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pusat dan taman hidupan liar berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah penularan COVID-19.
“Perlu diingatkan bahawa tiga tempat popular ini hanya dibuka kepada pelancong tempatan dan rakyat Malaysia sahaja buat masa ini. Saya menasihati pengunjung agar mematuhi SOP ditetapkan sebagai satu norma baharu bagi mencegah penularan COVID-19 ketika melawat ke tempat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA