Kerajaan akan mengumumkan dalam masa terdekat tawaran harga tiket penerbangan lebih murah kepada pelajar di institut pengajian tinggi (IPT).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia membabitkan pelajar IPTA dari semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak atau pelajar dari dua negeri Borneo itu yang belajar di semenanjung.
"Untuk Aidilfitri ini, penjualan tiket dibuka pada 6 April lalu dan dalam dua atau tiga hari sahaja sudah habis.
"Yang ada ketika ini untuk MAS (Malaysia Airlines) balik Sabah dan Sarawak yang kebanyakannya tinggal kelas perniagaan. Sebab itu kita lihat harganya sekarang tinggi, sebab hanya tinggal tiket kelas perniagaan, kelas ekonomi sudah habis dijual.
"Untuk pelajar, kita tak sempat buat untuk Aidilfitri ini, namun kita sudah ada perancangan untuk tawarkan harga lebih baik kepada pelajar IPTA dengan subsidi kerajaan, untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak yang belajar di semenanjung dan pelajar dari semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak. Kita akan umumkan tak lama lagi," katanya.