Jika anda pernah dengar berkenaan Skytrax, ia adalah sistem penarafan penerbangan global bagi produk dan perkhidmatan, keselamatan, selain turut menjadi penanda aras untuk piawaian penerbangan. Kiranya penarafan 5 Bintang dari Skytrax adalah suatu impian bagi syarikat penerbangan, termasuklah Malaysia Airlines.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin Malaysia Airlines Berhad (MAB) mampu mencapai penarafan lima bintang Skytrax menjelang 2018 berikutan pelan pemulihan syarikat berkenaan kini berjalan lancar mengikut jadual.
Fasa pertama pelan pemulihan itu iaitu menstabilkan kewangan MAB sudah dicapai dan syarikat tersebut menjangkakan keadaan kewangan MAB lebih baik tahun depan.
Sekarang Malaysia Airlines memberi tumpuan kepada fasa kedua termasuk penambahan 11 laluan baru dari China, selain melihat kepada perbezaan produk seperti hidangan dan hiburan dalam penerbangan, serta kualiti pesawat.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan logo 'Negaraku' pada pesawat 737-800 milik MAB sebagai inisiatif ‘Negaraku’, yang diumumkan MAB Mei lalu bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat di seluruh negara.
Selain pesawat B737-800, Malaysia Airlines Group juga akan memaparkan logo Negaraku pada badan pesawat ATR-72-500 bersama MASwings dan Firefly serta pada pesawat Airbus baharu A350 yang dijangka akhir tahun ini.