Kesan COVID-19 terhadap industri penerbangan secara global adalah amat buruk dan nampaknya Malaysia Airlines tidak terkecuali daripada menerima impak daripada penularan pandemik ini.
Malaysia Airlines Berhad (MAB) kini beroperasi dengan kira-kira 75 peratus pesawatnya tidak dapat diterbangkan akibat sekatan perjalanan menyebabkan kapasiti dan pendapatannya terjejas.
Sebelum pandemik Covid-19 melanda, kedudukan kewangan MAB didapati telah merosot di mana prestasi kewangan Malaysia Aviation Group Berhad (MAGB) pada 2015 berjumlah RM1.1 bilion, RM0.7 bilion (2016), RM1.2 bilion (2017) dan RM1.3 bilion pada 2018.
Setakat 31 Ogos lalu, jumlah kecairan yang dimiliki oleh Kumpulan MAGB adalah kira-kira RM366 juta selain kira-kira RM578 juta yang tersedia untuk digunakan daripada dana yang diperuntukkan oleh Khazanah.
Bagi mengatasi masalah kewangan MAGB dan MAB kerajaan akan mengadakan rundingan lanjut dengan Khazanah bagi mengenal pasti kemampuan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAB) mampu bertahan dalam krisis ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19, hala tuju syarikat khususnya dalam memperkukuhkan kedudukan kewangannya dan mengenal pasti penyelesaian strategik yang terbaik bagi kumpulan penerbangan itu.