Galeri Rumah Lat kini telah dibuka di Batu Gajah, Perak. Galeri yang dibina di atas tanah berkeluasan 0.0412 hektar itu menempatkan kesemua hasil karya seni yang dihasilkan kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohd Nor Khalid atau dikenali sebagai ‘Datuk Lat’ pada sepanjang tempoh kariernya sejak dari tahun 1962.
Antara yang dipamerkan ialah asil-hasil lukisan dan tulisan Lat serta sebuah sebuah replika rumah kayu tradisional Perak yang menempatkan barang-barang peribadi termasuk koleksi keluarganya.
Menariknya, replika rumah kayu tradisional itu dibina berdasarkan kepada rumah dalam komik dan animasi popular Datuk Lat iaitu ‘Kampung Boy’.
Kos pembangunan Galeri Rumah Lat yang menelan belanja RM3.81 juta dibiayai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan siap sepenuhnya pada Januari 2022.
Sementara kerja-kerja pengisian bahan pameran pula disiapkan pada 30 Jun lalu dengan kos bernilai RM700,000 dengan pembiayaan Wang Sumbangan MOTAC.
Manakala Kerajaan Perak akan menampung seluruh kos operasi galeri dari segi fizikal, selenggara dan perjawatan.
Galeri Rumah Lat dibina bagi mengenang jasa Datuk Lat dan memastikan segala hasil karyanya dapat dipamerkan di suatu tempat khusus yang dapat disimpan serta menjadi tatapan generasi akan datang.
Waktu Operasi Galeri Rumah Lat
- Selasa - Khamis : 10.00 Pagi - 4.00 Petang
- Jumaat : 10.00 Pagi - 12.15 Tengahari | 2.45 Petang - 4.00 Petang
- Sabtu - Ahad : 10.00 Pagi - 4.00 Petang
- Isnin : Tutup