Selepas lebih dua tahun ditutup kerana wabak COVID-19 yang melanda dunia, Rusia kini telah membuka kembali sempadan mereka dan bersedia menerima kemasukan pelawat asing, termasuk dari Malaysia.
Perkembangan terbaru itu adalah selaras dengan pindaan yang dibuat pada 14 April 2022 terhadap Dekri Kerajaan Persekutuan Rusia Perkara 635-r bahawa mereka tidak lagi mengenakan larangan masuk kepada warga asing.
Berita tersebut diumumkan melalui status yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi Kedutaan Russia di Malaysia.
Status itu turut memaklumkan prosedur memproses visa pelancong sudah bermula sejak bulan lepas. Urusan bagi memohon visa pelancong boleh dibuat menerusi temujanji atau secara 'walk-in'.
Bagaimanapun, pelancong Malaysia yang ingin memohon visa bagi memasuki Rusia dinasihati untuk berhubung dengan petugas Kedutaan tersebut untuk memudahkan urusan.