Bagi penduduk sekitar Dungun, Terengganu, Taman Rimba Bukit Bauk, sebelum ini sinonim sebagai pusat riadah dan aktiviti pendakian untuk seisi keluarga.Namun kini, ia memiliki satu lagi tarikan pelancongan unik untuk penduduk tempatan iaitu Taman Kucing Dungun.
Taman berkenaan antara inisiatif Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan dan pada masa sama memastikan haiwan itu tidak terbiar dan terjaga.
Taman seluas kira-kira seluas kira-kira 0.809 hektar itu menempatkan hampir 100 kucing jalanan. Semua kucing itu dikutip pihak MPD dari beberapa lokasi terutama di Pasar Besar Dungun, Pasar Paka dan hadapan kedai makan sekitar daerah berkenaan.
MPD turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dalam memberi rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan kucing terbiar itu kekal sihat.
Setakat ini, dua kakitangan MPD ditugaskan menjaga taman dan kucing berkenaan dan terdapat lima sangkar pengasingan disediakan mengikut kategori kesihatan haiwan iaitu Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Unit Kucing Bahagia, Wad Keluarga Bahagia serta Wad Rawatan Ibu dan Anak.
Meskipun selama ini terbiar di jalanan, haiwan itu jinak dan mudah mesra dengan pengunjung. Keletah haiwan itu mencuit hati dan tidak hairanlah walaupun baru dibuka Mac lalu, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.
Lebih 2,000 pengunjung direkodkan dijangkakan ia akan meningkat memandangkan taman ini sentiasa dikunjungi setiap hari terutama pada sebelah petang.
Kebanyakan pengunjung membawa anak masing-masing untuk meluangkan masa bermain dan bermesra dengan kucing-kucing yang dibiarkan bebas di taman ini. Namun, jika ada pengunjung yang mahukan kucing-kucing yang ada, MPD akan memberikannya secara percuma.
Berbeza dengan taman haiwan lain, pengunjung ke Taman Kucing Dungun tidak akan dikenakan bayaran kerana pihak MPD mahu mendidik orang ramai supaya menyayangi kucing. Begitupun, pihak MPD sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pihak awam mahu pun swasta bagi sama-sama membantu menjaga kebajikan kucing terbabit.
Pengunjung boleh menyumbang makanan kucing, ubat-ubatan yang sesuai dan wang ringgit. Bagaimanapun, sumbangan berbentuk wang tunai lebih dialu-alukan kerana ia diperlukan untuk membeli ubat-ubatan haiwan itu.Selain itu, ia juga dapat membantu menampung kos makanan (temasuk beras dan ikan) hampir 100 Kucing berkenaan yang dianggarkan sekitar RM200 hingga RM300 sehari.
Dalam pada itu, berdasarkan keluasan yang ada, taman berkenaan ketika ini mampu memuatkan sehingga 150 ekor kucing pada setiap masa. Pada masa hadapan pihak MPD merancang mahu menambah kapasiti haiwan di taman itu dan sedang menunggu kelulusan dana dari kerajaan pusat. Jika tiada halangan, taman itu kelak dapat memuatkan 300 kucing jalanan terbiar namun ia bergantung kepada peruntukan yang diterima.
Inisiatif MPD itu wajar dicontoh pihak berkuasa tempatan lain di seluruh negara kerana terdapat banyak kucing yang terbiar di jalanan dan memerlukan bantuan.
Jadi, kepada pencinta kucing, jangan ketinggalan mengunjungi Taman Kucing Dungun kerana ia sesuai dijadikan sebagai pusat rekreasi keluarga di dalam kawasan alam semula jadi.