Festival Permainan Malaysia (FPM) merupakan sebuah program yang diadakan dengan tujuan memartabatkan semula permainan tradisional yang semakin terpinggir di kalangan masyarakat moden. Melalui FPM, usaha untuk menghidupkan kembali permainan tradisional ini dijalankan secara menyeluruh, dengan harapan dapat menarik minat seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, untuk mengenali dan terus memainkan permainan yang menjadi warisan budaya negara.
FPM juga bertindak sebagai platform pelancongan berasaskan seni budaya dan warisan di Kuala Lumpur, dengan memberikan tumpuan kepada permainan tradisional sebagai elemen utama. Program ini bukan sahaja menarik minat pengunjung tempatan tetapi juga pelancong luar negara yang ingin mengenali lebih dekat budaya masyarakat Malaysia.
Bagi tahun 2024 ini, Festival Permainan Malaysia diadakan bermula 13 hingga 16 september 2024, bermula jam 7 pagi sehingga 11 malam bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sebanyak 28 permainan tradisional diketengahkan dalam festival itu yang bermula 13 Sept sehingga esok, antaranya lari dalam guni, kelereng, tati lawi, bola beracun, laga ayam serta permainan warisan kaum India Kabaddi dan catur cina.
Seramai 2,378 peserta terdiri daripada badan beruniform, sektor korporat dan institusi pengajian tinggi, terlibat di dalam pertandingan permainan tradisional sempena FPM@KL 2024 yang juga merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pameran dan demonstrasi, persembahan serta jualan.
Antara pengisian program termasuklah:
- Pertandingan Permainan Tradisional dan Moden
FPM menggabungkan elemen permainan tradisional dan moden dalam pertandingan yang dianjurkan. Para peserta berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai jenis permainan seperti gasing, congkak, sepak raga, serta permainan moden seperti e-sukan. Pertandingan ini bukan sahaja menguji kemahiran tetapi juga memperkenalkan semula permainan tradisional kepada masyarakat yang mungkin tidak pernah mencubanya. - Liga Permainan Tradisional dan Moden
Sebagai tambahan kepada pertandingan, liga permainan juga dianjurkan untuk memastikan kesenian permainan ini terus berkembang dan mendapat tempat di hati masyarakat. Liga ini menekankan pertandingan secara berterusan dalam tempoh tertentu, memberi peluang kepada pemain untuk memperbaiki kemahiran mereka. - Persembahan Pentas
Persembahan pentas menampilkan pelbagai pertunjukan seni budaya yang menggambarkan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia. Persembahan ini termasuk tarian tradisional, muzik gamelan, silat, dan demonstrasi permainan tradisional yang disulami dengan elemen artistik untuk memeriahkan suasana. - Pencungkilan Bakat
FPM juga membuka peluang kepada pencungkilan bakat baru, terutamanya dalam permainan tradisional. Program ini memberi ruang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat mereka, sama ada dalam permainan, persembahan seni, atau kreativiti seni warisan yang lain. - Bengkel
Bengkel-bengkel interaktif disediakan bagi mereka yang ingin mendalami permainan tradisional. Melalui bengkel ini, para peserta berpeluang mempelajari teknik dan sejarah di sebalik setiap permainan, selain mendapat bimbingan terus daripada pakar-pakar dalam bidang tersebut. - Pameran, Demonstrasi, dan Jualan Produk Kraf/Seni
Di sepanjang festival, pameran dan demonstrasi permainan serta produk seni kraf tradisional turut diadakan. Para pengunjung berpeluang melihat secara dekat cara permainan tradisional dimainkan, serta dapat menyaksikan proses penghasilan kraf tangan seperti tenunan, anyaman, dan batik. Tidak ketinggalan juga jualan produk kraf untuk mereka yang ingin membawa pulang cenderahati yang unik. - Jualan Makanan (Food Truck)
Untuk menambah kemeriahan, festival ini turut disertai dengan jualan makanan melalui food truck yang menawarkan pelbagai jenis juadah tempatan. Ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati makanan Malaysia yang lazat, tetapi juga melengkapkan pengalaman budaya yang dipromosikan melalui festival ini.
Festival ini menjadi medium yang penting dalam memperkukuhkan identiti budaya dan warisan Malaysia, serta menjadi salah satu tarikan pelancongan seni budaya yang signifikan di Kuala Lumpur.
Ayuh, ramai-ramai hadir ke reruai Jabatan Warisan Negara (JWN) di Dataran Merdeka bersempena dengan penganjuran Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur 2024.