Tular di platform media sosial Xiaohongshu, seorang pelancong dari China meluahkan kekecewaannya mengenai pengalaman kurang memuaskan ketika melancong ke Malaysia sehingga berikrar tidak akan kembali ke negara ini.
Pelancong tersebut berkongsi pengalaman kurang menyenangkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila ingin membeli tiket KLIA Ekspres. Beliau kecewa kerana ketiadaan papan tanda dalam bahasa Cina dan kesukaran memahami bahasa tempatan.
KLIA Ekspres menawarkan perkhidmatan tanpa henti dari KLIA ke Kuala Lumpur Sentral dengan harga RM55 untuk seorang dewasa. Namun, pelancong itu tersilap faham dan menyangka tambang adalah RM8.50 untuk perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur.
Sebenarnya, tambang RM8.50 adalah untuk perkhidmatan KLIA Transit yang berhenti di beberapa stesen dengan harga lebih rendah. Akibat salah faham ini, beliau meminta bantuan kakitangan untuk membayar tiket. Selepas dibantu, beliau terkejut apabila mendapati harga yang dikenakan adalah RM110 bagi dua tiket KLIA Ekspres.
Menurut pelancong itu, jika dia mengetahui kos tambang lebih awal, dia lebih rela menggunakan Grab ke pusat bandar dengan kos yang lebih murah. Beliau mengakui kesukaran memahami bahasa Inggeris, terutama sebutan tempatan, yang menyebabkan kekeliruan bahawa ia adalah perkhidmatan murah.
Pelancong ini turut menyatakan kekecewaannya kerana tiada kakitangan KLIA yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Mandarin. Beliau juga gagal mendapatkan bayaran balik akibat halangan bahasa. Kecewa dengan layanan yang diterimanya, pelancong tersebut membuat laporan polis namun dimaklumkan bahawa ia bukan isu yang boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai netizen Malaysia, dengan pelbagai reaksi dan komen. Ada yang bersimpati dengan pengalaman pelancong itu, manakala ada juga yang berpendapat bahawa sebagai pelancong, dia seharusnya lebih bersedia dan memahami sistem di Malaysia. Isu ketiadaan papan tanda dalam bahasa Cina turut menimbulkan perbincangan mengenai keperluan komunikasi yang lebih inklusif di negara berbilang budaya seperti Malaysia.