Perlis Floating Market atau Pasar Terapung Perlis di Pengkalan Tok Kuning, Kangar telah mencetus fenomena pada hari pertama pasar ini beroperasi iaitu pada hari Ahad, 23 September 2018.
Mesej mula tersebar di media sosial dan whatsapp group apabila Kelab Memancing dan Rekreasi Negeri Perlis mengumumkan majlis pelancaran Perlis Floating Market akan disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis pada pukul 9.00 pagi pada tarikh tersebut.
Posting di laman Facebook PerlisAktif pada 21 September jam 11.30 malam mendapat reaksi yang amat luarbiasa oleh netizen.
Di atas kami kongsikan posting di Media Sosial PerlisAktif yang menjadi detik permulaan fenomena Perlis Floating Market yang membuatkan ramai orang teruja untuk datang menyaksikannya sendiri.
Jom kita saksikan gambar-gambar yang telah kami kongsikan di laman media sosial PerlisAktif sepanjang Floating Market beroperasi.
Kami kongsikan bersama anda gambar di hari pelancaran Perlis Floating Market pada 23 September 2018.
Sangat meriah kan? Namun, di tahun 2019, Floating Market ini belum lagi beroperasi.
Pengkalan Tok Kuning menjadi lokasi ‘parking’ bot seperti biasa.
Pada bulan Disember, kami pernah berhubung dengan salah seorang AJK Kelab Memancing bertanyakan status Floating Market, beliau menjelaskan bahawa pada masa tersebut musim mencadat sotong jadi tiada bot dapat digunakan oleh peniaga.
Sehingga sekarang ia masih belum beroperasi sedangkan kami menerima banyak pertanyaan di inbox berkenaan status Floating Market.
Apa sudah jadi?
Di bawah kami kongsikan keadaan terkini Pengkalan Tok Kuning yang suatu ketika meriah dengan Floating Market.
Ok. Jangan rumuskan apa-apa lagi. Secara kebetulan ketika kami mengambil gambar di pengkalan tersebut, ada salah seorang ahli Kelab Memancing memberi khabar gembira.
Info yang beliau kongsikan, Perlis Floating Market akan kembali beroperasi suatu hari nanti setelah beberapa kemudahan di kawasan tersebut siap sepenuhnya.
Menurutnya lagi, beberapa pondok rehat akan didirikan bagi memudahkan pengunjung berteduh dan berehat bersama keluarga dan rakan-rakan.
Menarik kan? Menurut beliau, ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menaiktaraf kawasan tersebut bagi menarik minat pelancong datang ke Perlis Floating Market sekaligus membantu meningkatkan taraf ekonomi peniaga di kawasan berkenaan.

Berita baik kan?
Sama-sama kita doakan agar perancangan ini berjalan dengan baik. Usaha Kelab Memancing dan Rekreasi Negeri Perlis seharusnya diberi pujian serta idea asal Floating Market oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis tidak harus disia-siakan. Diharapkan usaha ini mendapat sambutan yang baik dikalangan orang ramai terutamanya rakyat Perlis sendiri.
Perlis tidak banyak tempat menarik, kerana itulah, Floating Market ini mendapat sambutan yang luarbiasa pada hari pertama ia beroperasi. Jadi, kami harapkan ia dapat diteruskan seperti biasa dan menjadi salah satu lokasi pelancongan menarik di negeri Perlis.
Perkembangan lanjut akan kami kongsikan bersama anda. Teruskan bersama kami di PerlisAktif.
Laporan dan Foto oleh : PerlisAktif