Percutian di hotel menawarkan keselesaan dan kemewahan yang sukar ditandingi. Dengan pelbagai kemudahan moden seperti kolam renang, spa, restoran mewah, serta bilik yang selesa, hotel menjadi pilihan utama untuk mereka yang ingin berehat dengan penuh gaya.
Sama ada hotel bajet atau resort bertaraf lima bintang, pengalaman menginap di hotel memberikan ruang untuk melarikan diri dari kesibukan harian dan menikmati masa berkualiti bersama keluarga atau pasangan.
Disebabkan itu, percutian hanya tidur di hotel atau dikenali sebagai 'staycation' semakin mendapat tempat.
Kalau dahulu, tetamu hotel dibenarkan memasuki bilik hotel pada jam 2:00 petang dan perlu keluar sebelum jam 12.00 tengah hari. Namun, sekarang waktu check-in di kebanyakan hotel telah dianjak kepada jam 3:00 petang dengan alasan dari pihak hotel bahawa mereka memerlukan masa untuk mengemas bilik.
Namun, lain pula yang terjadi kepada seorang individu yang meluahkan rasa kecewanya kerana tetamu hanya dibenarkan check-in bilik di sebuah hotel pada pukul 4.00 petang.
Image via @netnetwok (X)
Kecewa pihak hotel lewatkan waktu check-in
Menerusi perkongsian di laman X, individu berkenaan mempersoalkan sesetengah hotel yang mengadakan polisi check-in hanya pada pukul 4.00 petang dan check-out pula sebelum pukul 11.00 pagi.
Malah, dia turut meminta agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk campur tangan dalam hal sebegini.
Tambahnya, banyak hotel-hotel di Malaysia tidak mengikut amalan yang sepatutnya seperti melewatkan waktu daftar masuk dan mempercepatkan waktu daftar keluar.
"Nak rakyat support Tourism Malaysia. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, kena campur tangan isu check in-check out.
"Check in 4pm, check out 11am bagi saya melampau. Atau kita kempen boikot hotel yang buat polisi ini. Siapa setuju, apa pandangan?," tulisnya.
Image via @netnetwok (X)
Harap-harap polisi ini tidak diteruskan kepada semua hotel. Bagi kami, polisi tersebut amat melampau. Mana tidaknya, masa untuk kita berehat-rehat di hotel sudahlah tak sampai 24 jam, kini dipotong lebih pendek. Waktu pagi tu, baru bangun tidur, pergi sarapan terus kena kemas beg sebab kena check-out ! Ish !