Kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma di kesemua lebuh raya kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang,Johor. Pelaksanaan pengecualian bayaran tol kepada kenderaan kelas 1 itu selama dua hari bermula jam 12.01 tengah malam pada 8 April dan akan berakhir jam 11.59 malam keesokan harinya.
Pengecualian tol ini adalah bersempena dengan Raya Aidilfitri yang mana menyaksikan ramai warga Malaysia akan melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta bagi pelaksanaan inisiatif tersebut.
Rancang Perjalanan
Dijangkakan jumlah kenderaan akan meningkat di kesemua jaringan lebuh raya pada tarikh tersebut, justeru pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan sebaik-baiknya.
Bagi para pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) menerusi aplikasi MyPLUS-TTA.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi pula akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang melibatkan lokasi kesesakan kritikal. Bilangan ini termasuk tiga lokasi baharu berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan semasa perayaan Tahun Baru Cina pada Februari lalu. Langkah itu untuk menambah kapasiti dan melancarkan aliran trafik.