Semua perkhidmatan pengangkutan kendalian Rapid KL di Lembah Klang merangkumi LRT, MRT, BRT dan monorel akan beroperasi selama 24 jam pada malam 30 Ogos ini.
Semua servis rel akan beroperasi bermula jam 6 pagi pada 30 Ogos sehingga 11.30 malam, 31 Ogos ini.
Lebih 4,000 kakitangan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam itu.
Selain itu, laluan bas terpilih turut akan beroperasi bagi tempoh sama sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
Rapid KL akan turut menyediakan sehingga 60 bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula jam 6 petang pada 30 Ogos hingga jam 3 petang, 31 Ogos bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal berlangsung di Putrajaya.
Selain itu, sebanyak sembilan bas akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
langkah tersebut merupakan inisiatif syarikat itu bagi menyahut seruan kerajaan menyemarakkan bulan kemerdekaan.