Malaysia Airlines menjadi syarikat penerbangan terbaharu yang akan meghentikan penggunaan pesawat Airbus A380 dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Kami tahu tentang cabaran untuk menjual pesaat ini. Namun, kami sedang mencari jalan untuk melupuskannya. Buat masa sekarang, pihak pengurusan yakin bahawa pesawat A380 tidak sesuai untuk rancangan masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Izham Ismail.
Rancangan itu bagaimanapun bakal menyaksikan syarikat penerbangan negara dan ahli Oneworld itu memulakan penghantaran pesawat Boeing 737 MAX bermula tahun 2024. Izham turut memberi bayangan pesawat tersebut akan diterima lebih awal.
Menjelang tahun 2025, Malaysia Airlines mensasarkan untuk mempunyai 83 unit pesawat dan kembali pulih pada tahun tahun 2023, selari dengan pemulihan perjalanan udara.
Malaysia Airlines merupakan antara pelanggan terakhir Airbus yang membeli pesawat berkenaan yang menerima penyerahan pertamanya pada tahun 2012. Kini, Malaysia Airline memiliki enam unit Airbus A380 dengan pesawat paling tua berusia 9 tahun setengah.
Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia Airlines pernah mempertimbangkan langkah untuk menjual pesawat dua tingkat itu atau menukarnya menjadi satu penerbangan khas bagi membawa jemaah haji dan umrah dari Asia Tenggara ke Arab Saudi.
“Sasarannya adalah untuk menubuhkan satu infrastruktur dan sistem pengangkutan udara khusus untuk jemaah haji dan umrah dari negara-negara ASEAN,” kata Izham sambil menambah syarikat penerbangan baharu itu akan dikenali sebagai Amal.
Bagaimanapun, pandemik COVID-19 akhirnya meranapkan usaha tersebut. Semoga Malaysia Airlines terus kuat mengharungi ujian ini