Promosi dan diskaun sehingga 50 peratus untuk 664 produk pelancongan di negeri Melaka boleh ditawarkan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan tamat pada 4 Februari ini disambung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Saari Basiron berkata, tawaran diskaun kepada penduduk negeri itu bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan rentas negeri.
Apabila pelancong luar tidak boleh masuk ke Melaka, kerajaan negeri Melaka amat berharap peranan penduduk tempatan untuk membantu menghidupkan kembali sektor pelancongan dengan mengunjungi 664 produk pelancongan yang sedia ada.
Bagi tujuan mengalakkan penduduk melancong di negeri sendiri, BPP menawarkan potongan diskaun sebanyak 50 peratus bagi 18 lokasi pelancongan utama untuk dilawati antaranya sembilan muzium, Melaka River Cruise, Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park serta Zoo Melaka.
Langkah tersebut diputuskan hasil daripada kenyataan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang memberi jaminan PKP akan tamat 4 Februari ini dan tidak akan disambung bagi mengelak kesan buruk terhadap sektor ekonomi di negara ini.
Selain itu, sebanyak 55 hotel dari lima hingga tiga bintang juga akan menawarkan diskaun 50 peratus kepada penduduk di negeri ini untuk membawa keluarga menginap.
Antara lokasi pelancongan yang menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus adalah Bukit Batu Lebah Ecopark, Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), Monorail, Air Panas Jasin, Taman Tema Air Bayou Lagoon dan Taman Tema Air Asahan.
Langkah tersebut adalah antara usaha BPP membantu pemain industri yang terjejas teruk sepanjang PKP sejak 13 Januari lalu.
Untuk pengetahuan, promosi pakej ‘Melakan Visit Melaka 2020’ yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, awal November dan berakhir Disember lalu susulan pelaksanaan PKPB sedikit sebanyak membantu melonjakkan sektor pelancongan.
Lima produk pelancongan yang mendapat kunjungan telah membuktikan kempen yang dijalankan untuk mengalakkan penduduk melancong di negeri sendiri membuahkan hasil serta dapat meringankan beban pemain industri.
Sembilan muzium dan dua galeri di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) mencatat kunjungan paling ramai dalam kalangan penduduk di negeri ini dengan 22,117 pengunjung dikuti Zoo Melaka (9,612), MIBC (6,298), Melaka River Cruise (1,898) dan Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park (1,199).
SUMBER : UTUSAN ONLINE