Sejak tahun 2018, penyampaian khutbah Arafah disampaikan dengan terjemahan langsung kepada lima bahasa iaitu Inggeris, Perancis, Farsi, Bahasa Melayu dan Urdu.
Pada tahun kedua pelaksanaannya, bahasa Cina ditambah. Tahun 2021, sebanyak empat lagi bahasa dimasukkan.
Terbaru, Inisiatif terjemahan langsung Khutbah Hari Arafah dari Mekah, Arab Saudi itu akan diteruskan pada musim haji kali ini, malah ditambah baik apabila khutbah tersebut akan mempunyai terjemahan langsung ke 10 bahasa termasuk Bahasa Melayu.
Khutbah musim haji 1443 H beserta terjemahan langsung akan disiarkan dalam 10 bahasa iaitu Inggeris, Bahasa Melayu, Urdu, Farsi, Perancis, Cina, Turkiye, Rusia, Hausa dan Bengali.
Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata inisiatif ini bagi membolehkan jemaah haji serta umat Islam di seluruh dunia memahami kandungan teks khutbah yang disampaikan.
"Selepas ini akan lebih dari itu (10 bahasa), kerana menjadi kewajipan kami di Haramain untuk menyampaikan kepada semua, setiap pengisian (mengenai) kebenaran, keadilan, kebajikan, kesederhanaan, toleransi, menolak ketaksuban dan kebencian dari tanah suci ini," katanya dalam wawancara saluran televisyen Alekhbariya, Arab Saudi baru-baru ini.
Alekhbariya turut melaporkan khutbah Arafah akan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen dan radio tempatan selain tiga aplikasi pintar (Arafat, Haramain dan Manaret Haramain) serta portal jabatan berkenaan.