Sebelum ini kami pernah siarkan berkenaan insiden penghawa dingin yang tidak dapat dihidupkan dalam kabin pesawat milik Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dengan nombor penerbangan MH2710 yang sepatutnya membuat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sandakan pada 8 Mei lalu.
Terbaru, Malaysia Airlines dalam kenyataan telah memohon maaf atas kesulitan yang telah berlaku. Mereka berkata, pesawat yang mahu bertolak dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah itu didapati mengalami isu teknikal ketika enjin pesawat dihidupkan.

“Pesawat itu juga terpaksa kembali semula ke ruang menunggu (bay) selepas prosedur kali kedua untuk menghidupkan enjin gagal ketika melakukan ‘pushback’.
“Malaysia Airlines memohon maaf apabila pendingin hawa tidak dapat dihidupkan ketika proses baikpulih dilakukan menyebabkan persekitaran kabin menjadi panas,” katanya.
Susulan insiden itu juga katanya, seorang penumpang memerlukan bantuan perubatan kecemasan.
“Penumpang kemudian dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 1.37 tengah hari dan selamat tiba di Sandakan pada pukul 4.30 petang.

Selain itu, pihak Malaysia Airlines turut memohon maaf atas insiden hampir serupa yang turut berlaku pada penerbangan MH2536 dari Kuala Lumpur ke Kuching pada 3 Mei 2022 dan penerbangan MH1205 dari Alor Setar ke Kuala Lumpur pada 9 Mei lepas.
“Malaysia Airlines kesal terhadap ketidakselesaan yang dihadapi penumpang baru-baru ini dan komited untuk meningkatkan proses pemulihan perkhidmatan bagi memastikan pengalaman penumpang tidak diganggu,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.

Katanya, keadaan hangat dalam kabin pesawat itu merupakan isu teknikal berasingan yang disebabkan kegagalan Unit Kuasa Bantuan (APU-Auxiliary Power Unit) beroperasi.
Jelasnya, sistem APU digunakan untuk membekalkan bekalan elektrik dan tekanan udara bagi menghidupkan sistem pendingin hawa dan enjin semasa pesawat berada di daratan.
“Apabila kelainan dikesan di darat sebelum berlepas, sebuah pesawat tidak boleh dihidupkan, menyebabkan persekitaran kabin yang hangat,” kata kenyataan itu.
Katanya, dengan bantuan peralatan di darat di lapangan terbang dan jenis pemeriksaan yang berbeza, masa menunggu mungkin dipanjangkan secara tidak sengaja bagi memastikan pesawat selamat untuk beroperasi.

Tambahnya, bagi mengelak situasi seumpama itu berulang dan menyebabkan ketidakselesaan penumpang, syarikat penerbangan itu dengan kadar segera memastikan penumpang dipindahkan ke dewan pelepasan dalam tempoh 10 minit selepas isu dikenalpasti ketika proses pembaikan dilakukan.
Malaysia Airlines akan mengesyorkan tindakan seterusnya jika proses pembetulan mengambil masa yang lebih lama daripada jangkaan, ujarnya.
Katanya, sepanjang sambutan Hari Raya, Malaysia Airlines mengendalikan 1,800 penerbangan dengan menggunakan 40 buah pesawat bagi bagi memenuhi peningkatan permintaan penerbangan domestik.
Menurut kenyataan itu, pasukan kejuruteraan syarikat penerbangan tersebut telah bekerja sepanjang masa bagi memastikan semua pesawat layak terbang dan keselamatan kekal menjadi keutamaan Malaysia Airlines.