Assalammualaikum semua! Harini kami ingin berkongsi tentang pameran seni menggunakan teknologi dari Jepun yang sedang hangat diperkatakan. Banyak akaun media sosial berkongsi dan teruja berkenaan pameran ini.
Pameran ini adalah karya seni TeamLab, iaitu sebuah kumpulan pengkarya seni secara kolektif bertaraf antarabangsa yang ditubuhkan dan berpusat di Tokyo, Jepun. Di dalam kumpulan ini, terdapat ahli dalam pelbagai bidang misalnya artis, jurutera, ahli matematik, juru animasi, dan lain-lain.
TeamLab ini dah buat banyak pameran berunsurkan teknologi dan digital di peringkat antarabangsa dan pameran mereka berlangsung di pelbagai tempat antaranya di New York, London, Paris, Singapura, Silicon Valley, Beijing dan Melbourne serta pameran kekal berskala besar di Shanghai, Macau, Tokyo dan Singapura. Sehingga kini, teamLab menerima kehadiran lebih daripada 28 juta pengunjung ke pameran seninya di seluruh dunia.
Malah, Muzium Borderless teamLab di Tokyo menyaksikan 2.3 juta pengunjung daripada lebih 160 negara dan wilayah dalam tempoh setahun sejak pembukaannya dan diiktiraf sebagai muzium kumpulan seni tunggal yang paling banyak dilawati di dunia.
Ia juga dinamakan sebagai salah sebuah Tempat Paling Hebat di Dunia pada 2019 oleh majalah Time.
Kali ini, ramai yang teruja apabila TeamLab sedang melangsungkan pameran mereka di Kuala Lumpur.
Tema Pameran
TeamLab: Resonating Microcosms
Tarikh & Lokasi Pameran
Pameran kolektif karya seni teamLab: Resonating Microcosms ini sedang berlangsung di aras bumbung (aras 4), Mitsui Shopping Park LaLaport, Bukit Bintang City Centre (BBCC), Kuala Lumpur bermula 4 Ogos hingga 30 November 2022 dari jam 10 pagi sehingga 10 malam.
Apa Yang Anda Akan Lihat
Pameran teamLab: Resonating Microcosms menampilkan 2 karya utama. Yang pertama bertajuk Resonating Microcosms-Liquified Light Color, Sunrise and Sunset yang mempunyai ovoid (bujur telur) di atas kawasan padang terbuka, merupakan sebuah ruang seni mengikut perubahan dalam persekitaran semula jadi dan kehadiran orang ramai.
Di bawah sinaran matahari, ovoid menggambarkan dunia sekeliling mereka melalui refleksi (pantulan).
Apabila sinaran matahari terbenam, ovoid itu akan mula bersinar dengan sendirinya melalui lampu berwarna-warni.
Ruang pameran ini berubah secara interaktif di bawah pengaruh angin, hujan serta tingkah laku manusia, sekali gus menjadikan persekitaran dan orang ramai sebagai sebahagian daripada hasil kerja seni berkenaan.
Sebagai contoh, apabila ovoid yang dipamerkan ditolak oleh seseorang, ditiup angin atau ditimpa hujan, ia bersinar dengan terang dan mengeluarkan nada bunyi. Ovoid di sekelilingnya juga saling memberikan tindak balas dengan mengeluarkan nada bunyi dan cahaya warna yang serupa.
TeamLab bereksperimentasi dengan konsep warna. Ovoid berkenaan boleh berubah kepada 57 warna.
Malah, pohon di sekelilingnya juga akan memberikan tindak balas dan berubah secara berterusan. Pohon-pohon inilah pameran seni TeamLab yang kedua iaitu Resonating Trees
Menerusi tajuk karya Resonating Trees ini, pohon-pohon bersinar dengan terang dan cahaya daripada setiap pepohon berkelip dengan sendiri secara perlahan-lahan.
Cahaya yang dihantar dari pameran “Resonating Microcosms-Liquified Light Color, Sunrise and Sunset” menyebabkan cahaya pada pohon tersebut akan berubah warna dan nada khusus bergema mengikut warna. Cahaya pohon itu pula akan dihantar kepada pohon di sekelilingnya satu persatu selagi bunyi-bunyian ada secara berterusan.
Apabila cahaya bergema dari pohon yang berada di kejauhan, ia menandakan kehadiran orang ramai. Barangkali seseorang itu akan lebih menyedari kehadiran orang lain di ruangan yang sama.
Kadar Bayaran
Tiada bayaran dikenakan untuk pengunjung melihat pameran ini. Bagaimanapun, anda akan diberikan slot masa untuk memasuki kawasan pameran.