Melalui pengumuman pada 7 september oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan dan adalah atas pilihan sendiri berkuat kuasa serta-merta. Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM).
Today I announced face masks indoors will be optional effective immediately. However, it’s still mandatory in all health care facilities (hospitals, clinics, nursing homes etc) and in public transport. High-risks individuals encouraged to keep their masks on.
— Khairy Jamaluddin ??? (@Khairykj) September 7, 2022
Bagaimanapun, anda jangan mengambil mudah dan sekadar baca tajuk ya. Peraturan yang baru diumumkan ini masih lagi tertakluk kepada beberapa situasi dan tempat.
Antaranya adalah pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka untuk memasuki premis mereka atau sebaliknya.
Kalau pemilik premis mahu pengunjung pakai pelitup muka, maka kena pakai pelitup muka dan mereka mempunyai hak untuk tidak membenarkan pengunjung memasuki premis sekiranya tidak memakai pelitup muka.
Selain itu, masih ada beberapa tempat yang memerlukan anda untuk tetap memakai pelitup muka.
Lokasi Diwajibkan Pelitup Muka
Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan sekiranya positif COVID-19, ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.
Selain itu, pelitup muka juga diwajibkan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya.
Galakan Memakai Pelitup Muka
"KKM menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah-rumah ibadat.
Individu bergejala seperti demam, batuk, selsema dan berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung juga digalakkan terus memakai pelitup muka.
KKM juga menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.