Bandaraya Melaka terkenal dengan jolokan sebagai Bandaraya Bersejarah dan juga destinasi pelancongan terkenal di Malaysia. Apabila digabungkan antara dua tersebut, terhasillah sebuah kawasan pelancongan berorientasikan sejarah yang menarik.
Ini adalah satu taman tema terbaru di Melaka yang menampilkan konsep hiburan dan pendidikan. Sebenarnya kawasan ini dulunya adalah Taman Mini Malaysia & ASEAN yang terletak di Ayer Keroh.
Tetapi sekarang taman ini sudah diberi nafas baru. Beberapa tarikan lama seperti rumah-rumah tradisional setiap negeri telah dibaik pulih dan pelbagai tarikan baharu ditambah bagi menjadikan lokasi ini lebih menarik.
Sebanyak 13 rumah mewakili negeri di Malaysia di Taman Mini Malaysia itu dinaik taraf mengikut tema atau elemen kebudayaan serta warisan bagi negeri terlibat menggunakan pelbagai teknologi dan pendekatan baharu untuk menarik pengunjung.
Kini, destinasi ini dibuka semula secara berperingkat sebagai Malaysia Heritage Studios sejak 18 Disember lalu dengan anggaran kos kira-kira RM20 juta.
Apabila anda menjejakkan saja kaki di luar taman tema ini, anda sudah dapat melihat keunikan dengan pintu gerbang seperti istana pada zaman kesultanan melayu Melaka.
Dekat luar ini saja pun dah cantik, siap ada 'globe' macam dekat Universal Studios tu. Kami yakin selepas ini, kawasan ini akan menjadi port bergambar yang terkenal dan ikonik.
Masuk dalam lagi best, Cantik sangat, seolah-olah masuk dunia fiksyen & khayalan.
Dekat sini, pengunjung dapat lihat karakter atau makhluk lagenda dari kisah dongeng tempatan seperti Sang Kelembai, Mawas, Gajah Mina, Semberani, Naga Tasik Chini, Nenek Kebayan, Jentayu Garuda dan pelbagai lagi yang menggunakan teknologi animatronik bagi menggerakkan setiap monumen gergasi tersebut.
Lebih menarik, para pengunjung juga dapat melihat secara dekat karakter hidup’ yang membawa perwatakan Cik Siti Wan Kembang, Puteri Gunung Ledang, Mat Kilau, Hang Tuah, Hang Jebat dan Rentap.
Kesemuanya dikumpulkan dalam taman tema ini menjadikan ia sebagai satu dunia 'magika'. Penggunaan teknologi di taman ini memudahkan pengunjung untuk menghayati atau merasai perasaan berada di sekitar sesuatu kawasan dengan lebih seronok kerana berbentuk pamerannya yang berbentuk ‘immersive’ dan interaktif.
Seronok juga bawa anak-anak ke sini, walaupun kisah dongeng tapi itu sebahagian dari kekayaan warisan budaya yang membentuk kita hari ini dan perlu kita jaga. Ada juga pengajaran dari kisah-kisah dongeng ni.
Harga Tiket
Harga tiket masuk ke Melaka Heritage Studios dalam tempoh prapelancaran adalah RM36 untuk dewasa dan RM28 untuk kanak-kanak. Manakala bagi warga emas RM28 dan OKU RM23.
Bagi pelancong asing pula, harga tiket adalah RM72 bagi dewasa dan RM56 kanak-kanak.
Promosi Khas Warga Melaka
Buat warga Melaka, ada promosi khas untuk anda iaitu RM28 untuk dewasa dan RM25 bagi kanak-kanak. Bagaimanapun, promosi ini tamat pada 31 Disember 2022
Alamat
Malaysia Heritage Studios , Exit Lebuh Ayer Keroh, 75450 Ayer Keroh, Melaka
Waktu Operasi
9AM-6PM (Setiap Hari)