Ini adalah sebuah kafe unik yang dikelilingi sawah padi menghijau dengan berlatar belakang Bukit Chuping, kafe berkonsepkan kesenian, alam dan budaya, sekaligus memberikan satu pengalaman istimewa buat pengunjung.
Masuk sahaja ke kafe yang terletak di Kampung Balik Bukit ini, pasti pengunjung akan merasai suasana yang nyaman dan tenang.
Balbuk Haus menyediakan beberapa menu istimewa seperti nasi lalap, mee lalap serta roti panggang. Nasi lalap yang menjadi menu utama atau tumpuan di Balbuk Haus itu adalah resepi asli dari Tawau, Sabah. Ia adalah kombinasi nasi putih, ayam yang direbus menggunakan rempah terpilih, ulam-ulaman dan sambal Tomat yang mereka hasilkan sendiri.
Selain nasi lalap yang popular di Sulawesi, Indonesia itu, mereka juga menyediakan menu lain seperti mee lalap dan set roti panggang dengan masing-masing berharga serendah RM7.50.
Sambil merasai hidangan, pengunjung boleh menikmati keindahan alam sekitar dalam suasana kampung di ruang makan yang disediakan seperti bilik kaca, pondok terbuka, dan perpustakaan mini yang menyimpan pelbagai koleksi sastera Melayu, Indonesia, Inggeris, bahan bacaan berbentuk keagamaan, pengetahuan am, geografi dan pelbagai lagi bahan bacaan lain.
Menariknya, sambil membaca pengunjung boleh menikmati keindahan di kawasan sekeliling yang cukup memukau yang berlatar belakangkan Bukit Chuping. Pelanggan juga boleh makan atau berkelah di sawah padi.
Balbuk Haus juga adalah salah satu lokasi yang diletakkan dalam pemetaan jelajah Seni Malaysia oleh Balai Seni Negara. Pelbagai aktiviti kesenian seperti persembahan puisi, muzik, diskusi dan forum juga sering diadakan di sini.
Lokasi
Balbuk Haus, Lorong Long Chin, Kampung Balik Bukit Chuping, 02500 Kangar, Perlis