Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan lebih 10 juta penumpang pada Jun 2023, tertinggi sejak sekatan perjalana yang bermula pada Mac 2020.
Rangkaian lapangan terbang MAHB di Malaysia dan Turkiye terus mempamerkan pertumbuhan penumpang yang konsisten dengan merekodkan paras tertinggi baharu sebanyak 4.9 juta jumlah pergerakan penumpang antarabangsa bagi Jun 2023, peningkatan sebanyak 7.1 peratus daripada bulan sebelumnya.
Sementara itu, jumlah pergerakan penumpang domestik kekal melebihi paras 5.0 juta untuk bulan kedua berturut-turut pada Jun 2023 pada 5.3 juta.
“Secara keseluruhannya, bagi separuh pertama 2023 (1H 2023), kumpulan itu merekodkan 56.1 juta pergerakan penumpang, mencecah 82 peratus daripada paras pra-pandemi 2019 dalam tempoh yang sama,” kata MAHB dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata rangkaian lapangan terbang itu berkembang seiring dengan pemulihan trafik global dan serantau yang beransur-ansur.
Beliau berkata jumlah pergerakan penumpang bagi 1H 2023 bagi lapangan terbang di Malaysia merekodkan 38.9 juta penumpang apabila trafik antarabangsa mendapat tempat yang disokong oleh perkembangan positif, manakala sektor domestik terus menerajui momentum pemulihan trafik.
Iskandar juga berkata, permulaan semula 45 syarikat penerbangan dan permulaan dua syarikat penerbangan baharu, iaitu T'way Air dan TransNusa, meningkatkan jumlah pemulihan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan kepada 75 peratus pada 50.5 juta pada 1H 2023 berbanding 1H 2019 sebanyak 67.3 juta.
“Selain itu, jumlah faktor muatan purata bagi 1H 2023 melebihi 1H 2019 sebanyak 1.2 mata peratusan yang mencatatkan pada 76.1 peratus, dengan faktor muatan purata yang lebih tinggi direkodkan setiap bulan pada 1H 2023 kecuali bulan Ramadan, memberikan keyakinan untuk pertumbuhan selanjutnya dalam kapasiti tempat duduk ke arah laluan pemulihan trafik," katanya.
MAHB berkata bagi Jun 2023, operasi di Malaysia merekodkan hampir tujuh juta pergerakan penumpang, meningkat dua peratus daripada bulan sebelumnya.
Pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia buat kali pertama merekodkan lebih tiga juta penumpang pada 3.2 juta, yang juga meningkat tujuh peratus berbanding Mei 2023.
Momentum trafik bagi pergerakan penumpang domestik terus merekodkan melebihi paras tiga juta sejak Disember 2022.
Prestasi Malaysia terus menyumbang kepada hampir 70 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang global MAHB pada 10.2 juta penumpang bulan lepas.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turkiye (SAW) mencapai pencapaian penting dengan merekodkan jumlah pergerakan penumpang tertinggi sejak Mac 2020
Ia meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 3.3 juta penumpang untuk Jun 2023 dan telah dipulihkan sepenuhnya kepada tahap pra-pandemi 2019 dan 1.5 peratus untuk 1H 2023.
Jun 2023 juga menyaksikan SAW mencatat satu lagi paras tertinggi baharu bagi pergerakan penumpang antarabangsa pada 7.2 peratus kepada 1.7 juta penumpang, manakala pergerakan penumpang domestik mencatatkan 3.7 peratus kepada 1.6 juta penumpang berbanding bulan sebelumnya.
-- BERNAMA