HalalXPlorer Logo
tekad tunai haji sendirian this 18 year old malaysian student gets to perform hajj on his own
26 August 2023

Usia Baru 18 Tahun, Remaja Ini Tekad Tunai Haji Sendirian !

Kongsikan:

Panggilan atau seruan ke Baitullah bagi menunaikan haji bukanlah satu seruan yang biasa-biasa. Ramai yang ingin 'dipanggil' tetapi masih belum mendapat rezeki dari segi masa, wang, kesihatan dan sebagainya.

Kerana itu, bila mendapat tawaran menunaikan haji pastilah tawaran tersebut tidak dapat ditolak dan para penerima pasti akan bersungguh-sungguh untuk menunaikan kewajipan tersebut.

Itu yang berlaku kepada seorang remaja berasal dari Batu Pahat, Johor yang baru saja berusia 18 tahun pada musim haji tahun 2023.

Usia Baru 18 Tahun, Remaja Ini Tekad Tunai Haji Sendirian !
Jemaah muda, Muhammad Haqim Mohd Farid. Kredit Gambar : NSTP / SYUHADA CHOO ABDULLAH

Meskipun baru berusia 18 tahun ketika itu, Muhammad Haqim Mohd Farid tetap tekad untuk menunaikan haji tahun tersebut tanpa ditemani oleh ahli keluarga.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor, Seremban ini tidak merasa kekok bergaul dengan jemaah lain yang kebanyakannya adalah golongan berusia.

Sebagai anak tunggal, katanya, dia gemar melakukan perjalanan jauh sebagai pengembara solo dan suka membantu orang lain.

"Saya menerima tawaran menunaikan haji ketika sibuk mempersiapkan peperiksaan SPM. Notifikasi tawaran tersebut dihantar ke akaun (THiJARI) ibu saya kerana saya masih berusia 17 tahun pada masa itu. Saya tidak sangka akan mendapat tawaran ini pada usia muda. Ibu saya juga terkejut.

"Pada awalnya, saya berniat untuk menolak tawaran tersebut, tetapi ibu dan ayah menasihati supaya menerima peluang ini kerana jika Allah SWT sudah memanggil, kita tidak seharusnya menangguhkannya kerana tidak tahu bila akan ada peluang lagi," katanya.

Muhammad Haqim meluahkan rasa syukur kerana dapat bergelar jemaah haji selepas didaftarkan oleh ibunya pada tahun 2007, menjadikannya pengalaman peribadi yang sangat berharga.

"Saya pernah datang ke Tanah Suci pada tahun 2018 untuk menunaikan umrah. Sejak itu, saya menjadi suka beribadah di sini. Alhamdulillah, saya juga semakin rajin beribadah di Tanah Suci," katanya, yang aktif dalam sukan bola sepak sebagai penjaga gol di sebuah kelab amatur.

Beliau juga menceritakan bahawa sebagai anak kepada pasangan pesara swasta, Mohd Farid Mohd Yatim, 70, dan suri rumah, Rozilina Ishak, 60, dia tidak hanya membantu jemaah lain tetapi juga menyumbang tenaga sebagai Sahabat Maktab (Hujjaj).

Menurutnya, dia pernah menjadi bilal dan mengimamkan solat di surau hotel tempat dia menginap.

Sejak tiba di Tanah Suci, katanya, dia telah beberapa kali membantu jemaah yang tersesat di Masjidil Haram, termasuk menghantar seorang wanita tua pulang dengan menaiki teksi bersamanya hingga ke hotel.

Muhammad Haqim menyatakan bahawa dia mencontohi sikap datuknya, Allahyarham Ishak Safar Khan, yang gemar membantu membersihkan tanah perkuburan semasa hidupnya. Dia juga bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang agama dan berminat untuk menjadi mutawif.

Sementara itu, bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid, 52, bersyukur dapat menunaikan ibadah haji sebagai pengiring kepada bapa mentuanya yang berusia 80 tahun.

Beliau berkongsi pengalamannya membantu warga emas tersebut, yang masih mampu berjalan, untuk menyempurnakan tawaf di tengah kesesakan ribuan jemaah lain.

"Ketika tawaf, ayah akan memegang tali beg saya dan selalu berada di belakang saya. Saya pula berusaha mengelak bertembung dengan kumpulan besar jemaah yang bergerak," katanya, yang bersara sebagai pelumba profesional pada tahun 2007.

Kini, Wazi aktif dalam mempromosikan keselamatan jalan raya, termasuk sebagai jurulatih program di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian Pengangkutan. Beliau menasihati golongan muda supaya segera mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk mendapatkan giliran menunaikan haji.

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA