Sebagai muslim, mengembara ke serata dunia bukanlah satu perkara yang mudah. Ini kerana, banyak negara di luar sana tidak mempunyai penduduk Muslim, menyebabkan kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh Muslim seperti ruang solat.
Terkadang rasa janggal bila mana perlu solat di tempat terbuka dan bila dapat tahu ada tersedianya tempat solat khas, memang kita seronok. Salah satu berita baik dari Jepun ketika ini adalah terdapat sebuah masjid yang baru dibuka berhampiran Gunung Fuji di kawasan Tasik Kawaguchi.
Masjid FujiKawaguchiko ini dibuka pada 8 November 2020 yang lalu. Ianya dibina di atas bekas Capsule Inn Fujisan. Masjid ini juga mempunyai kawasan makanan dan kafe yang halal untuk pelancong Muslim.
Masjid FujiKawaguchiko terletak hanya beberapa minit berjalan kaki dari Tasik Kawaguchi yang indah dan berhampiran jambatan yang melintasi tasik. Ini bermakna setelah menunaikan solat, anda boleh berjalan ke tasik untuk melihat Gunung Fuji yang megah
Tasik Kawaguchi
Bagi yang belum pernah datang ke Jepun, tasik Kawaguchi adalah salah satu tasik yang terkenal di sekitar Gunung Fuji. Tempat ini merupakan tempat wajib singgah sebabnya di sini lah anda boleh lihat keindahan alam semula jadi dan juga kecantikan Gunung Fuji dari perspektif yang berbeza.
Selain itu, terdapat banyak kemudahan seperti perkhidmatan penyewaan basikal, kedai serbaneka, hotel, resort dan banyak lagi!