Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jatuh lima anak tangga dalam senarai 100 Lapangan Terbang Terbaik Dunia yang dikeluarkan Skytrax bagi tahun 2023.
Pintu masuk antarabangsa utama negara yang terletak di Sepang, Selangor itu menduduki ranking ke-67 tahun ini, berbanding tempat ke-62 tahun lalu.
Sementara itu, Lapangan Terbang Changi Singapura mengungguli kedudukan teratas, naik dua anak tangga berbanding tempat ketiga tahun lalu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo pula masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam senarai dikeluarkan Skytrax.
Kedua-dua lapangan terbang antarabangsa itu masing-masing jatuh satu dan dua anak tangga berbanding ranking tahun lalu.
Pada 2022, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar menduduki tangga pertama, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda (Tokyo) pula di tempat kedua.
Dalam pada itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (Seoul) naik satu anak tangga berbanding tahun lalu dengan menduduki tempat keempat tahun ini.
Menurut laman sesawang https://www.worldairportawards.com/, kedudukan itu ditentukan berdasarkan undian oleh pengembara udara dalam Tinjauan Lapangan Terbang Dunia Skytrax.
Rekod terbaik dipegang KLIA adalah kedudukan kedua lapangan terbang terbaik dunia pada 2001, sebelum jatuh ke kedudukan ke-14 pada 2013 dan 44 pada 2018.