Langkawi, salah satu tarikan pelancongan di Kedah bakal mempunyai satu lagi tarikan apabila satu projek pembangunan bersepadu akan dibina di pulau lagenda tersebut.
Projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 40.975 ekar di Padang Matsirat yang bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di mana ia meliputi ‘Outlet Premium, outlet perniagaan, outlet makanan dan minuman (F&B) serta kemudahan rekreasi kepada para pelancong dan juga masyarakat setempat.
Keseluruhan pembangunan memfokuskan kepada konsep membeli- belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu.
Projek berkenaan dibahagikan kepada beberapa fasa dan pihak pemaju akan memfokuskan kepada pembangunan fasa satu dan dua terlebih dahulu yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM817 juta.
Pembangunan fasa satu bakal dikenali sebagai Malaysia Designer Outlet yang menempatkan lot fesyen tempatan, pelbagai restoran masakan fusion berkonsepkan eksklusif .
Sehingga kini, hampir 90 peratus usahawan di sekitar Langkawi serta Semenanjung Malaysia telah mengesahkan penglibatan mereka dalam perniagaan di fasa satu.
Fasa dua yang juga merupakan jantung projek tersebut akan menyaksikan pembangunan Premium Outlet di atas kawasan seluas 11.6 hektar yang akan bermula pada Januari 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2024.
Projek fasa dua bakal menawarkan hampir 1,400 peluang pekerjaan dan akan menarik minat lebih ramai pelancong untuk datang ke Pulau Langkawi