Baru-baru ini telah tular sebuah video di Twitter, memaparkan beberapa orang penumpang yang dilihat sedang berjalan di atas landasan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kejadian itu dikatakan berlaku setelah servis aerotrain KLIA terkandas kira-kira 3 petang di KLIA semalam, membabitkan 114 penumpang.
Semasa insiden berlaku, dipercayai sebuah aerotrain terhenti secara mengejut di atas landasan serta aerotrain ‘penyelamat’ yang sepatutnya mengambil mereka juga mengalami masalah teknikal sehingga menyebabkan kesemua 114 penumpang terpaksa berjalan kaki sejauh 400 meter.
Kejadian ini adalah kali kedua berlaku di mana penumpang terpaksa berjalan di atas landasan disebabkan masalah teknikal tren sejak mereka mula beroperasi 25 tahun lepas.
Difahamkan, bantuan termasuk penginapan dan tiket penerbangan telah disalurkan kepada 10 penumpang yang tertinggal penerbangan akibat insiden semalam.
Susulan kejadian tersebut, Pengarah Urusan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dihentikan sementara bermula hari ini atas faktor keselamatan.
Semasa penggantungan operasi tren tersebut sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kemudian, sebanyak 18 bas perantara akan disediakan untuk kemudahan penumpang.
Bas tersebut akan beroperasi sepanjang masa bagi mengambil dan menurunkan penumpang dari balai pelepasan ke terminal satelit
kerja-kerja pembaharuan perkhidmatan aerotrain itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dengan kos sebanyak RM700 juta.
“Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang ‘hidup’ dan tertakluk kepada ketetapan di mana operasi akan terus berjalan manakala pembinaan aerotrain baharu juga harus diteruskan,” katanya sekali gus memohon maaf atas insiden yang berlaku.