Kalau sebelum ni korang bercuti ke Bali dengan bajet yang tak terlalu tinggi, bersedialah sebab percutian ke Pulau Dewata mungkin akan jadi lebih mahal! Bali tengah merancang untuk mengenakan cukai harian kepada pelancong asing—dan angka yang disebut-sebut boleh mencecah RM450 sehari!
Kenapa Bali Nak Kenakan Cukai Harian Ni?
Menurut laporan CNN Indonesia, pemimpin Bali nak tiru model Bhutan yang mengenakan caj sekitar USD100 (RM446) sehari kepada setiap pelancong asing.
Matlamat utama? Nak tarik pelancong yang lebih "berkualiti" dan mengurangkan kehadiran pelancong bajet atau backpacker, yang sering digelar “turis sandal jepit” oleh masyarakat tempatan.
Puspa Negara, Ketua Bali Marginal Tourism Alliance, kata langkah ni penting untuk meningkatkan standard pelancongan di Bali. Menurutnya, “Sudah tiba masanya pulau ini beralih ke arah pelancongan berkualiti dengan memperkukuh kualiti destinasi dan sumber manusia.”
Apa Impak Kepada Pelancong Malaysia?
Buat rakyat Malaysia yang memang suka ke Bali, ni mungkin berita kurang best.
- Sebelum ni, pelancong asing hanya perlu bayar cukai sekali sahaja, IDR150,000 (RM40).
- Tapi kalau cukai harian ni dilaksanakan, kos perjalanan boleh melambung tinggi.
Katakan korang nak bercuti selama 5 hari, itu bermaksud RM2,250 hanya untuk cukai pelancongan sahaja! Belum masuk hotel, makan, transport, dan shopping. Fuhh, boleh tahan mahal!
Pendapat Penduduk Tempatan
Sebenarnya, ramai peniaga kecil di Bali setuju dengan cadangan ni. Mereka rasa pelancong bajet tak banyak berbelanja, yang akhirnya merugikan perniagaan tempatan.
The Bali Sun melaporkan bahawa ramai peniaga berpendapat cukai harian ni akan membantu meningkatkan ekonomi tempatan dengan menarik lebih ramai pelancong yang sanggup berbelanja lebih.
Apa Kata Pemimpin Bali?
Gabenor Bali, Wayan Koster, pernah cadangkan kuota pelancongan pada tahun 2023 untuk kawal jumlah pelancong asing yang masuk ke Bali setiap tahun.
Selain itu, bekas Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno, serta Senator Ni Luh Djelantik juga menyokong model Bhutan ini. Mereka percaya langkah ini akan membantu memelihara keunikan budaya dan keindahan Bali.
Bali Masih Jadi Destinasi No.1 di Asia
Walaupun ada kontroversi tentang cukai harian ni, Bali tetap kekal sebagai destinasi percutian popular. Tahun lalu, Bali mencatatkan kedatangan 6.3 juta pelancong asing—lebih tinggi daripada sebelum pandemik! Tahun ini, mereka mensasarkan 6.5 juta pelancong.
Tapi dengan cadangan cukai baru ni, persoalannya: Masih berbaloi ke bercuti ke Bali? Atau korang akan cari destinasi lain yang lebih mesra bajet?