Melaka Floating Market yang sebelum ini viral kerana didakwa kurang mendapat sambutan akan dipindahkan ke lokasi yang lebih strategik dan selesa. Keputusan ini dibuat selepas penularan video seorang peniaga di TikTok yang mendedahkan situasi kurang memberangsangkan di kawasan tersebut.
Punca Kurang Pengunjung
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris, isu kekurangan pelawat berpunca daripada penutupan sementara laluan utama ke Floating Market.
Penutupan ini disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan jambatan pejalan kaki yang masih berjalan.
Sebenarnya, lokasi Floating Market dan Windmill Pink Market sekarang hanyalah sementara. Pihak PPSPM sudah merancang untuk memindahkan operasi pasar terapung ini ke tempat yang lebih baik bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Tindakan Susulan
Untuk membantu peniaga yang terkesan, penganjur telah menawarkan diskaun 50 peratus terhadap sewa tapak sejak Januari. Langkah ini bertujuan mengurangkan beban mereka sementara menunggu pembinaan jambatan pejalan kaki siap.
Dalam masa yang sama, PPSPM sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyediakan laluan sementara ke Floating Market. Laluan ini dijangka siap selewat-lewatnya Jumaat ini bagi memudahkan pelawat kembali ke kawasan tersebut.
Dari Viral ke Comeback?
Floating Market dan Windmill Pink Market yang mula beroperasi pada Jun 2024 pernah menjadi tarikan utama pelancong, baik dari dalam mahupun luar negara. Sehingga 4 Februari lalu, lebih 433,215 pengunjung telah datang ke kawasan ini sebelum jumlahnya merosot sebanyak 20 peratus akibat penutupan laluan utama.
Dengan lokasi baharu yang lebih strategik dan usaha pemulihan yang dilakukan, Melaka Floating Market berpotensi membuat comeback sebagai salah satu destinasi wajib singgah di negeri ini.