HalalXPlorer Logo
09 June 2020

Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke 46 destinasi, buat ramai excited !

Kongsikan:

Malaysia Airlines telah menambah penerbangan domestik serta menyambung semula penerbangan antarabangsa mulai bulan Jun dan Julai untuk memudahkan perjalanan penting dalam negeri dan berikutan negara-negara lain membuka semula pintu sempadan mereka.

Dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka, syarikat penerbangan itu berkata, mereka akan menyesuaikan kapasiti rangkaian dari masa ke semasa untuk memastikan permintaan penumpang dipenuhi, sebelum menyusun semula jadual penerbangan pada bulan Oktober bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.

Penyambungan semula perkhidmatan itu akan membolehkan ahli keluarga pulang bertemu ibu dan bapa mereka selepas pelaksanaan sekatan perjalanan di kebanyakan negara di seluruh dunia menghalang mereka untuk melakukannya.

JADUAL PENERBANGAN DOMESTIK

Untuk bulan Jun dan Julai, penerbangan antara Kuala Lumpur dan Alor Setar, Johor Baru, Kota Bharu, Langkawi, Terengganu, Labuan, Miri, Sandakan dan juga Tawau akan dilakukan dua kali seminggu.

Manakala penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Bintulu dan Sibu dijadualkan sekali dalam sela masa seminggu.

Penerbangan antara KL dan Pulau Pinang serta Kuching pada bulan Jun dijadualkan tiga kali seminggu, sementara penerbangan antara KL dan Kuching lima kali seminggu mulai bulan Julai.

TERBANG SEMULA KE DESTINASI ANTARABANGSA MULAI JULAI

Penerbangan antarabangsa pula akan bermula hanya pada bulan Julai antaranya, penerbangan Kuala Lumpur ke Dhaka, Kathmandu, London, Osaka, Narita, Incheon, Hong Kong, Perth, Denpasar, Phuket dan Kemboja akan dilakukan dua kali seminggu.

Perjalanan dua kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Melbourne hanya akan dilakukan dari 1 Julai hingga 18 Julai dan untuk Sydney, hanya selama lima hari dari 1 Julai hingga 5 Julai. Kemudian kedua-dua perjalanan tersebut hanya dijadualkan sekali dalam seminggu.

Penerbangan antara KL dan Chennai, Hyderabad, Mumbai, Bangalore, Kochi, Sri Lanka, Taipei, Guangzhou, Adelaide, Brisbane dan juga Surabaya akan dilakukan seminggu sekali.

Sementara, penerbangan ke laluan serantau akan dilakukan dengan lebih kerap. Antaranya, KL-Manila dijadualkan tiga kali seminggu dan Kuala Lumpur ke Jakarta/ Bangkok empat kali seminggu dan Kuala Lumpur ke Singapura lima kali seminggu.

Bagaimanapun, penumpang diingatkan untuk memeriksa syarat-syarat untuk masuk dan keluar sebelum melakukan perjalanan kerana sekatan perjalanan masih berkuat kuasa di kebanyakan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, syarikat penerbangan itu menyambut baik penumpang menggunakan semula perkhidmatan Malaysia Airlines.

"Kami akan terus memastikan keselamatan, kesihatan, dan keselesaan mereka dengan memperkenalkan inisiatif baharu seiring dengan protokol keselamatan dan kesihatan antarabangsa sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memberikan ketenangan fikiran penumpang sepanjang perjalanan mereka dengan Malaysia Airlines.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan dan keyakinan mereka yang berterusan terhadap Malaysia Airlines pada sepanjang waktu yang mencabar ini,” kata Izham.

Dalam persekitaran penularan koronavirus (Covid-19), Malaysia Airlines telah melaksanakan pelbagai langkah dan protokol keselamatan yang dipertingkatkan melibatkan koordinasi dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memastikan penerbangan dapat dilakukan semuula dalam pada kesihatan serta kesejahteraan penumpang dijaga.

Langkah-langkah ini merangkumi pemeriksaan suhu badan, aktiviti nyahkuman dan pembersihan terhadap semua harta benda serta kemudahan, pelaksanaan penjarakan sosial, penggunaan topeng muka yang wajib dan pemasangan penghalang skrin pelindung di kaunter daftar masuk dan kaunter lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Syarikat penerbangan itu juga akan memastikan semua pesawatnya dibersihkan dan nyahcemar pada setiap penerbangan, sementara tandas akan dipastikan sentiasa bersih sepanjang tempoh penerbangan oleh kru kabin.

Penumpang yang mencari penerbangan untuk pulang semula ke tanah air atau melakukan perjalanan penting menggunakan Malaysia Airlines boleh menempah tiket mereka di laman web rasmi syarikat penerbangan itu di laman web rasmi mereka atau menerusi aplikasi Malaysia Airlines, beberapa tarikh penerbangan tersedia untuk membuat tempahan.

Jadual penerbangan tersedia di laman web dan penumpang dinasihatkan untuk melakukan pendaftaran masuk secara dalam talian atau peranti mudah alih untuk mengurangkan interaksi dan mengelakkan beratur panjang di lapangan terbang terutama yang melakukan perjalanan domestik.

Dalam pada itu, Malaysia Airlines melalui akaun media sosial mereka telah melancarkan kempen #cuticutiMalaysia untuk mengajak orang ramai kembali pulihkan semula sektor pelancongan tempatan.

https://www.instagram.com/p/CBIihGeDXa-/


Lebih banyak berita penerbangan disini

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA