Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang diperkenalkan sejak tahun 1923 adalah merupakan program pameran dan jualaan yang menampilkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian yang bersandarkan kepada teknologi terkini, inovasi-inovasi tempatan dan luar negara, strategi-strategi pemasaran dan pengeluaran yang efektif serta lain-lain pendekatan yang mampu membantu sektor tersebut.
Kali terakhir penganjuran MAHA adalah pada 22 November hingga 2 Disember 2018 dan telah berjaya menarik seramai 3.3 juta orang pengunjung serta mencatatkan hasil jualan sebanyak RM215 juta.
Setelah 4 tahun berlalu, MAHA 2022 kini diadakan bermula 4 sehingga 14 Ogos 2022 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan, acara yang berlangsung selama 11 hari itu akan menyajikan pelbagai program dan pameran menarik berkaitan pertanian, hortikultur serta agro pelancongan.
Disesuaikan Dengan Keadaan Semasa
Mengambilkira situasi semasa Covid-19 dan negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik, penganjuran MAHA 2022 disesuaikan mengikut keadaan semasa. Sehubungan dengan itu, MAHA 2022 akan dianjurkan secara hibrid, iaitu kombinasi fizikal dan maya (virtual).
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan komited dalam memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan dipatuhi sepanjang MAHA 2022 berlangsung.
Oleh itu, MAHA 2022 akan menampilkan sedikit kelainan selaras dengan pembudayaan norma baharu.
Antaranya adalah mekanisme aktiviti pemadanan perniagaan, penganjuran konvensyen dan seminar (secara webinar) serta akses kepada pameran booth secara maya sekaligus memberikan pengalaman baharu dalam penganjurannya.
MAHA 2022 menampilkan 22 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.
Segmen-segmen yang terlibat di dalam dewan adalah seperti berikut:
- Agro-Tech
- Agro-Lifestyle
- Agro-Tourism
- Agro-Youth
- Agro-Edutainment
- Agro-Trade
- Agro-Job Fair
- Agrobased & Agroculinary
- Malaysian Seafood Expo (MySE)
- Pameran HPPNK
- AgroBusiness
- Food Empire
Manakala segmen pameran/jualan di luar dewan melibatkan laman-laman seperti berikut:
- Agro-Food Padi (Laman Padi)
- Agro-Food Florikultur (Miracle Garden)
- Agro-Food Nanas (Laman Nanas)
- Agro-Food Sayuran & Herba (Laman Sayur, Laman Herba dan Laman Kelulut)
- Agro-Food Ternakan (Laman Ternakan)
- Agro-Food Perikanan (Laman Perikanan)
- Agro-Food Mekanisasi (Laman Jentera)
- Castle of Fruit (Laman Tiba 1&2)
- Food Truck Fiesta (Laman Tiba)
Selain itu, di MAHA 2022 juga menampilkan 13 pavilion negeri yang akan mempamerkan produk-produk unik dan istimewa dari setiap negeri tersebut seperti kesenian budaya, pusat tarikan pelancongan, produk dan makanan hasil usahawan kecil dan sederhana yang boleh dinikmati oleh pengunjung.