Dah dua tahun acara sambutan Hari Kebangsaan tidak dapat dilakukan secara besar-besaran disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda bukan sahaja negara kita, tetapi seluruh dunia.
Tahun ini, acara berkenaan kembali diadakan di Dataran Merdeka. Mesti ramai terutamanya warga kota nak pergi melihat secara langsung dan lebih dekat dari semata-mata menonton di kaca televisyen kan.
Untuk anda yang mahu ke Dataran Merdeka, boleh baca tips-tips ini ya !
1. Datang Seawal Yang Mungkin
Tidak kisah anda menaiki pengangkutan apa pun, datang seawal yang mungkin. Walaupun acara sebenar akan berlangsung pada jam 8 pagi, tetapi bagi pengunjung yang mahu melihat secara langsung, anda dinasihatkan untuk berada di tempat duduk seawal 7 pagi.
Tempat duduk yang disediakan agak banyak bermula dari hadapan Dataran Merdeka sehinggalah Jalan Raja Laut (Berhampiran bangunan KWSP), tetapi untuk mendapatkan tempat duduk terbaik pula, seperti betul-betul berhadapan Dataran Merdeka atau di sebelah khemah tetamu kehormat, anda mungkin perlu hadir lebih awal lagi.
Maklumlah, siapa cepat dia dapat ! Kalau lambat, dapat duduk hujung-hujung saja.
Jangan risau untuk datang awal, kerana para peserta perarakan pun dah bersedia di tempat berkumpul sejak awal pagi lagi. Confirm tak sunyi !
2. Tempat Meletak Kenderaan
Jika anda membawa kenderaan sendiri, anda harus ingat terdapat 18 jalan utama ditutup dan dilencongkan pada 31 Ogos 2022 nanti. Kalau nak tahu senarai jalan yang ditutup boleh baca ini :
BACA : 18 JALAN DITUTUP SEMPENA HARI KEBANGSAAN . INI SENARAINYA !
Jadi, peruntukkan lebihan masa sebagai persiapan jika anda terpaksa berputar semula atau melakukan lencongan.
Untuk tapak meletak kenderaan, ada beberapa tempat yang telah dikenal pasti oleh PDRM sebagai lokasi sesuai untuk meletakkan kenderaan anda, bagaimanapun anda kena ingat jumlahnya terhad. Lokasi tersebut adalah :
- Jalan Tanglin
- Parkir Awam Hadapan Klinik Kesihatan Tanglin
- Parkir Awam Hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi
- Sekitar Masjid India (Parkir Awam di Sekitar Jalan Munshi Abdullah)
- Jalan Sultan Salahuddin
- Parkir Bertingkat Hadapan Bukit Aman
3. Tips Menaiki Pengangkutan Awam
Walaupun pada hari kebiasaan tren LRT& MRT beroperasi pada jam 6 pagi, namun untuk hari kebangsaan pada 31 Ogos nanti, perkhidmatan RapidKL iaitu LRT,MRT, monorel serta bas bakal memulakan operasi seawal jam 4:30 pagi.
Jika anda menaiki tren LRT Laluan Kelana Jaya, anda boleh berhenti di stesen LRT Masjid Jamek ataupun Pasar Seni. Manakala jika anda menaiki LRT Laluan Ampang/Putra Heights , anda boleh berhenti di stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya. Manakala jika anda menaiki MRT, anda perlu berhenti di stesen MRT Pasar Seni.
Stesen yang paling hampir dengan Dataran Merdeka adalah Stesen LRT Masjid Jamek. Manakala, stesen Pasar Seni dan Stesen Bandaraya memerlukan anda untuk peruntukkan masa kira-kira 5-7 minit untuk berjalan.
Kekerapan tren juga akan ditambah mengikut keperluan semasa operasi. Mungkin anda juga boleh menaiki bas perantara dari kawasan perumahan anda ke stesen LRT terdekat. Berikut adalah laluan bas perantara RapidKL.
Bukan sahaja perkhidmatan RapidKL, malah perkhidmatan KTM Komuter juga bakal dimulakan seawal jam 4:35 pagi bagi laluan tertentu pada 31 Ogos nanti.
4. Bawa Tisu atau Kain Pengelap
Sekarang ini musim hujan, jadi selalunya di waktu pagi kerusi tempat duduk penonton yang tidak beerbumbung akan basah. Kalau tidak kerana hujan di sebelah pagi, mungkin juga kerana embun. Jangan lupa bawa bersama tisu atau kain untuk mengelap tempat duduk anda.
5. Pakai Topi & Bawa Payung
Ketika jam 9-11 pagi, matahari mula naik tinggi, jadi mungkin anda akan berasa panas dan silau. Ketika duduk melihat persembahan, boleh memakai topi. Jangan dibuka payungnya, nanti orang belakang tak dapat lihat hadapan. Seeloknya, guna payung ketika anda berjalan.
6. Pakai Baju Kebangsaan
Sempena meraikan hari kebangsaan, elok kalau anda memakai baju kebangsaan. Lagi menarik jika anda menaiki pengangkutan awam, anda berpeluang mendapatkan hadiah misteri !
7. Bawa Alas Perut
Sementara menunggu acara sambutan bermula, mungkin anda tidak sempat bersarapan. Takut-takut kerusi tempat duduk dikebas orang. Jadi, jangan lupa bawa makanan ringan sebagai alas perut anda seperti roti dan air kotak.