MAHA 2024 (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia) ialah pameran terbesar dalam industri pertanian dan makanan di Malaysia. Ia diadakan setiap dua tahun sekali untuk mempromosikan produk tempatan, teknologi pertanian terkini, serta memberi peluang kepada usahawan untuk mempamerkan hasil dan inovasi mereka.
Acara ini turut menarik pengunjung dari pelbagai latar belakang seperti petani, pelabur, dan orang awam yang berminat dalam sektor pertanian dan makanan. MAHA 2024 juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk, demonstrasi teknologi, serta ruang untuk mencuba makanan tempatan.
Dengan tema MAHA 2024, "Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom", mencerminkan aspirasi untuk menuai kejayaan di masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang diterokai pada hari ini. Tema ini menekankan kepentingan inovasi dalam memastikan keterjaminan makanan untuk negara. Dengan cabaran perubahan iklim, peningkatan populasi, dan ketidakstabilan pasaran global, kita perlu terus mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam sektor pertanian.
Bersandarkan kepada Tema MAHA 2024 ini, terdapat beberapa aspirasi utama yang ingin dicapai. Pertama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai teknologi pertanian moden di kalangan petani dan pengusaha tempatan. Melalui pameran ini, pengunjung dan pemegang taruh akan dapat merasai pengalaman secara langsung untuk aplikasi inovasi seperti pertanian pintar, penggunaan data besar (Big Data), dan automasi boleh diaplikasikan dalam operasi harian mereka.
Berikut adalah serba sedikit trivia berkenaan MAHA edisi 2024 :
Bermula pada tahun 1923, MAHA telah menjadi pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara. Melangkaui satu abad penganjuran, MAHA telah menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti oleh segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini dan penekanan pameran bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara. Menerusi siri pameran yang dianjurkan, MAHA telah menjadi pemangkin untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia.
Meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA edisi 2024 akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan penyertaan daripada pelbagai negara, mencetus pembangunan daya tahan dalam sektor keterjaminan makanan dan mengangkat minat golongan muda untuk turut serta dan menjadikan sektor ini sebagai sumber pendapatan utama.
Salah satu lokasi wajib anda kunjungi adalah 14 Pavilion negeri-negeri termasuk 1 pavilion dari Wilayah Persekutuan, dengan masing-masing mempunyai reka bentuk yang unik mengikut ciri-ciri kenegerian. Pavilion-pavilion ini mempamerkan tarikan utama yang unik bagi setiap satu negeri bermula dari budaya, makanan, sektor agro ekonomi, usahawan IKS dan sebagainya ! Jangan lupa singgah ke pavilion negeri bila anda ke MAHA2024.
Lapan fokus Maha 2024 adalah Sambutan 100 Tahun Maha, Pertanian, Kelestarian, Modal Insan Madani, Teknologi, Agro Pelancongan, Maha Go Global dan Pelaburan.
Bagi fokus MAHA Go Global, sehingga kini 16 negara telah mengesahkan penyertaan antaranya Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong dan beberapa negara Eropah. Maha Go Global bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, meningkatkan eksport dan menggalakkan inovasi.
- ZON 1 : SELAMAT DATANG & KAWASAN PERDANA
- ZON 2 : GAYA HIDUP AGRO
- ZON 3 : PAVILION NEGERI
- ZON 4 : KEAJAIBAN DIWAKTU MALAM & AKTIVITI AIR
- ZON 5 : AGRI-PARK
- ZON 6 : TAMAN SAMBUTAN, VETERINAR & TAMAN KEJURUTERAAN AGRO
MAHA 2024 yang berlangsung di MAEPS merupakan acara pameran dan acara pertanian yang terbesar dan paling canggih di Asia Tenggara dengan keluasan 130 hektar.
MAHA2024 berlangsung selama 12 hari bermula 11 September sehingga 22 September 2024, selari dengan tarikh cuti sekolah penggal 2 yang bermula pada 14 September sehingga 22 September 2024.
Dengan pelbagai jenis pameran, pertunjukan, demonstrasi dan aktiviti, MAHA 2024 adalah antara platform paling menarik buat seisi keluarga untuk belajar tentang pertanian, tanpa mengira usia.
MAHA2024 dibuka bermula jam 10 pagi sehingga jam 10 malam, setiap hari dari 11-22 September 2024. Sepanjang tempoh ini, memang pelbagai aktiviti diadakan dari siang hingga ke malam !
Terdapat beberapa tarikan baharu di Maha 2024 iaitu Magical At Night and Water Show, Kids Attraction, Rhythm of Farmers, Agro Fit, Sunflower Garden dan Floating Market.
Turut disediakan ruang glamping, motorhome dan sebagainya.